,

Zaman Kanak-kanak

Sebagai seorang nabi dan rasul sudah tentu perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW dipelihara oleh Allah SWT

Maka, dapatlah kita fahami bahawa zaman kanak-kanak Baginda bukanlah seperti kebanyakan kanak-kanak yang lain.

Apatah lagi, lembaran sirah tidak banyak mencatatkan secara terperinci perihal zaman kanak-kanak Baginda

Apa yang ada hanyalah kisah tentang Baginda SAW disusukan oleh ibu susuan Baginda dan diikuti dengan pemergian ibundanya yang tercinta. 

Kemudian, Baginda dijaga oleh datuknya Abdul Muttalib dan setelah itu bapa saudaranya Abu Talib.

Memiliki Ibu Sususan yang Ramai

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam kitabnya Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib menyatakan bahawa terdapat lapan orang yang menjadi ibu susuan Baginda SAW

Namun, begitu yang masyhur hanyalah seramai tiga orang sahaja.

Pertama sekali sudah tentulah ibundanya Saidatina Amirah hanya selama beberapa hari. 

Kemudian, diikuti pula oleh Thuwaibah al-Aslamiyyah. Beliau pada awalnya merupakan jariah miliki Abu Lahab. 

Namun, sebaik sahaja mendapat berita tentang kelahiran anak saudaranya itu, Abu Lahab terus memerdekannya.

Setelah itu, barulah Baginda disusui oleh Halimah al-Sa’diyyah yang terkenal itu.

Ketika itulah Baginda SAW didatangi Malaikat Jibril membelah dadanya dan membersihkan hatinya.

Maka, disebabkan itulah Nabi Muhammad SAW memiliki ramai saudara susuan.

Pemergian Ibu Tercinta

Setelah menyaksikan peristiwa yang menakutkan itu, Halimah al-Sa’diyyah bertindak mengembalikan anak susuannya itu kepada ibunya semula. 

Beliau masih terkejut dan takut apabila menyaksikan kejadian yang luar biasa itu di hadapan matanya. 

Kejadian itu ialah peristiwa pembelahan dada Baginda SAW oleh Malaikat Jibril AS.

Maka, setelah itu Saidatina Aminah membawa anaknya itu ke Yathrib untuk menziarahi ahli keluarganya di sana. 

Juga, menziarahi pusara suaminya yang tercinta. 

Tatkala dalam perjalanan pulang, beliau jatuh sakit sehingga membawa kepada pemergiannya buat selama-lamanya.

Jasad beliau kemudiannya disemadikan di satu tempat yang bernama Abwa’.

Jadilah Nabi Muhammad SAW anak yatim piatu pada usia enam tahun.

Ummu Aiman yang menjadi pengasuh Baginda ketika itu kemudiannya membawa pulang anak asuhannya itu untuk diserahkan kepada datuknya Abdul Muttalib.

Dijaga Datuk dan Bapa Saudara

Tugasan menjaga Baginda SAW yang masih kecil itu kini berada di bahu Abdul Muttalib yang sudah lanjut usia itu.

 Beliau hanya sempat menjaga cucunya itu hanya selama dua tahun sahaja. 

Tidak lama selepas itu, beliau sakit dan kemudiannya meninggal dunia.

Namun, sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Abdul Muttalib sempat berwasiat kepada anaknya Abu Talib untuk menjaga cucunya itu

Mengapa Abu Talib? Kerana Abu Talib merupakan saudara seibu sebapa dengan Abdullah, ayah Baginda.

Walaupun Abu Talib sendiri memiliki anak yang ramai, beliau bahkan berbangga kerana dapat menjaga anak saudaranya itu. 

Tambahan pula, sepanjang Baginda SAW berada di bawah asuhannya, beliau melihat pelbagai keajaiban berlaku pada keluarganya.

Abu Talib memiliki lima orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan. 

Anak lelaki beliau ialah Talib, ‘Aqil, Ja’far, Ali dan Tulaiq. Manakala anak perempuannya ialah Fakhitah, Jumanah dan Raithah

Mereka semua merupakan sepupu kepada Baginda SAW.

Antaranya keberkatan rezeki keluarganya. Apabila anak saudaranya itu ada ketika mereka sekeluarga makan, mereka menjadi kenyang.

 Namun, sebaliknya apabila anak saudaranya itu tiada ada bersama. 

Begitulah keberkatan yang ada ada Baginda SAW sehinggakan bapa saudaranya itu sangat sayang dan kasihkan dirinya.

Rujukan:

Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.