Keperluan hidup terkadang memaksa kita pergi berjauhan daripada insan-insan yang kita sayang, mendorong kita untuk melakukan pengorbanan yang tidak dapat kita paksakan untuk difahami oleh mereka yang kita tinggalkan.
Jika boleh kita tidak mahu berpisah barang sekelip mata daripada belahan-belahan jiwa yang sangat kita cinta.
Namun, perpisahan itu membawa kita memaknai erti rindu dan kasih yang lebih mendalam.
Terkadang kita tak dapat merasakan betapa besarnya nilai insan-insan di sekeliling kita, sehinggalah kita terpaksa pergi menjauh sejenak daripada mereka untuk sebuah keperluan hidup.
Lalu kita tersedar, merekalah keperluan hidup kita.
Boleh jadi juga kita memang sengaja ingin pergi berjauhan kerana tidak tahan hidup bersama insan-insan terdekat kita. Dengan harapan kita akan lebih tenang.
Namun, tidak juga kita bertemu dengan kebahagiaan.
Living with you is difficult. But living without you is more difficult. Barangkali itulah yang hati kita rasakan setelah kita mula sedar erti sebuah ikatan.
Hidup ini, begitulah. Sampai masa kita akan meninggal, atau ditinggalkan. Insan-insan yang hadir dalam kehidupan kita bukanlah sebuah kebetulan.
Ruang masa yang ada untuk kita bersama, janganlah dibiar kosong tanpa isi yang membina cinta dan kasih.
Biarlah kita berpisah sementara untuk nantinya kembali bertemu dengan pelukan yang lebih erat, tautan hati yang lebih kukuh, ungkapan yang lebih indah, dan cinta yang semakin subur.
Perit rasanya mendengar tangisan anak yang tidak ingin ditinggalkan di tadika, kerana kita pergi bekerja.
Namun, kita tetap harus terus melangkah. Keperitan itu akan terubat tatkala kita pulang disambut pelukan yang begitu erat dan senyuman yang penuh bahagia.
Suatu hari mereka juga terpaksa meninggalkan kita, dan kita pasti menanti dengan penuh setia.
Bayangkan kegembiraan ibu bapa kita tatkala kita pulang, apatah lagi jika begitu lama kita tinggalkan. Mereka juga menanti dengan penuh setia.
Semoga kita dikumpulkan dalam pertemuan indah di bawah pohon-pohon dan di samping sungai-sungai di syurga, yang tiada lagi perpisahan, selama-lamanya.
Bersama ibubapa, pasangan, anak-anak, sahabat-sahabat dan seluruh insan-insan yang tercinta.
#muhasabahcinta
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Zul Yunus. Beliau merupakan seorang pengacara dan trainer bertauliah. Bergiat aktif dalam menghasilkan video inspirasi melalui YouTube, Facebook dan Instagram beliau di samping penulisan yang membangunkan jiwa manusia yang seimbang. Ikuti perkembangan beliau melalui blog zulyunus.blogspot.com
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.