Proses pembuktian adalah antara perkara yang paling penting bagi menentukan dakwaan kes itu benar atau sebaliknya.
Jadi, Islam mementingkan bukti dan hujah, bukan hanya sekadar sangkaan semata-mata.
Pihak yang tertuduh juga diberi peluang di dalam Islam untuk membela diri dan mengemukan bukti kerana Islam mengutamakan keadilan kepada kedua-dua pihak sama ada yang menuduh ataupun yang tertuduh.
Hakim juga tidak boleh membuat keputusan bahawa salah satu pihak itu bersalah, melainkan sehingga adanya bukti-bukti yang sahih dan tidak meragukan kerana jika sesuatu keputusan dibuat tanpa melihat kesemua itu, maka situasi tidak aman akan wujud dalam kalangan masyarakat.
Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Jika dibiarkan manusia itu membuat dakwaan sewenang-wenangnya, nescaya akan ada mereka yang membuat dakwaan ke atas harta benda dan darah orang lain dengan sewenang-wenangnya, iaitu tanpa bukti dan keterangan.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Jadi, dapat difahami bahawa setiap dakwaan memerlukan kepada bukti dan hujah supaya tidak dipanggil sebagai dakwaan palsu.
Pembuktian perlu dilakukan dalam majlis kehakiman iaitu di hadapan hakim dan di dalam mahkamah kerana bukti atau hujah yang dilakukan di luar majlis kehakiman tidak dikira.
Syariat Islam menetapkan beberapa syarat pembuktian, iaitu:
1. Didahului dengan dakwaan
2. Seiringan dengan tuntutan atau dakwaan
3. Dapar menghasilkan suatu natijah terhadap dakwaan
4. Dilakukan dalam majlis kehakiman
5. Berdasarkan pengetahuan sebenar atau andaian yang amat kukuh
6. Tidak bertentangan dengan akal, syarak, keadaan lahiriah dan hakikat sebenar sesuatu
7. Dilakukan dengan cara atau saluran yang ditentukan syarak
Wallahu’alam.