,

Kisah Seorang Lelaki Yang Punyai 4 Orang Anak

Diriwayatkan daripada Tous Al-Yamani,

Ada seorang lelaki yang mempunyai empat orang anak. Suatu hari, lelaki tersebut jatuh sakit yang tenat.

Kebetulan pula dia tidak mempunyai sebarang harta. 

Berundinglah keempat beradik itu. Berkata anak yang sulung kepada adik-adiknya,

Adakalanya seseorang itu menjaga ayahnya yang sakit tetapi tidak mendapat sedikitpun harta pusaka daripadanya.

Dalam masalah yang kita hadapi sekarang ini, aku menjaga ayah dan merawat penyakitnya tetapi aku tidak menerima sedikitpun harta pusaka daripadanya.

Maka siapakah di antara kita yang lebih patut merawat ayah?

Jawab adik-adiknya,

Engkau sebagai anak yang sulung yang lebih patut merawatnya.

Anak yang sulung menyedari ayahnya sakit tenat sedangkan adik-beradiknya tidak seorangpun yang mahu mengambil berat.

Oleh kerana tanggungjawab itu diamanahkan kepadanya, dia tiada pilihan tetapi menerima tanggungjawab tersebut tanpa banyak alasan lagi.

Akhirnya sampailah ajal ayahnya itu dengan tidak meninggalkan sebarang harta untuk dipusakai oleh mereka empat beradik. 

Suatu hari, tatkala dia tidur, dia bermimpi bertemu dengan seorang yang tidak dikenalinya.

Orang tersebut berkata,

Pergilah engkau ke suatu tempat di mana engkau akan temui wang sebanyak seratus dinar. Tetapi ingatlah bahawa wang itu tidak mempunyai berkat.

Pagi harinya, dia berkata pada isterinya,

Malam tadi aku bermimpi bertemu dengan seorang yang tidak aku kenali.

Dalam mimpi itu, dia menyuruh aku pergi ke suatu tempat di mana terdapat wang sebanyak seratus dinar tetapi wang itu tiada keberkatan atasnya.

Lalu bagaimanakah menurut pendapatmu?

Jawab isterinya,

Sebaiknyalah engkau ambil wang itu.

Kata suaminya,

Aku bimbang wang itu akan mendatangkan kemudaratan bagi diri kita sekeluarga dan aku merasa keberatan untuk mengambilnya sebab wang itu tiada berkat padanya.

Tetapi isterinya tetap menasihatkan supaya mengambilnya. Namun begitu, suaminya masih ragu-ragu. 

Lalu pada malam berikutnya, dia mendapat mimpi yang sama. Lelaki itu berkata,

Pergilah pada suatu tempat dan ambillah olehmu wang sebanyak sepuluh dinar tetapi wang itu juga tidak mempunyai berkat.

Pada pagi harinya, dia menceritakan tentang mimpinya itu.

Isterinya memujuknya supaya pergi mendapatkan wang itu.

Tetapi tidak dipedulikan oleh lelaki itu kerana perasaan bimbangnya terhadap keburukan yang mungkin menimpa akibat daripada wang yang tidak mempunyai berkat padanya itu. 

Pada malam ketiga, lelaki itu mendapat mimpi yang sama.

Dalam mimpi itu itu, orang yang tidak dikenalinya itu berkata,

Pergilah pada suatu tempat. Di sana engkau akan mendapat wang sebanyak satu dinar tetapi wang itu tidak. mempunyai berkat.

Kali ini, anak lelaki sulung itu pergi ke tempat yang dinyatakan di dalam mimpinya dan mengambil wang sebanyak satu dinar.

Setelah diambilnya wang itu, pergilah dia ke pekan dengan tujuan untuk membelanjakan wang itu. 

Di pekan tersebut, dia berjumpa dengan seorang lelaki yang menjual ikan hanya dua ekor sahaja.

Anak sulung itu bertanya pada lelaki yang menjual ikan itu,

Berapakah harga ikan ini?

Jawab lelaki penjual ikan,

Satu dinar.

Tanpa dilakukan tawar menawar, anak sulung itu membelinya.

Maka habislah wang sebanyak satu dinar yang dia dapati itu dibelanjakan untuk membeli dua ekor ikan sahaja. 

Setelah itu, segeralah dia kembali ke rumah dan menyerahkan ikan itu pada isterinya.

Ketika isterinya menyiang ikan tersebut, ditemui pada tiap-tiap perut ikan itu satu mutiara yang tidak pernah dilihat oleh manusia. 

Maka diapun pergi ke istana raja dengan membawa satu mutiara dan memberitahu pada raja. Kata Raja,

Tidak patut hanya satu mutiara ini sahaja melainkan ada saudaranya.

Jawab anak sulung itu,

Memang ada satu lagi mutiara.

Kata Raja pula,

Bawalah yang satu lagi kepadaku. Akan aku berikan wang yang banyak padamu.

Oleh kerana raja mahukan kedua-dua mutiara itu, maka baliklah dia ke rumahnya untuk mengambil mutiara yang satu lagi.

Kemudian diapun menyerahkan mutiara itu pada raja.

Maka rajapun memberikan wang yang sangat banyak pada anak sulung itu iaitu sebanyak enam puluh ribu dinar. 

Pada malam harinya, dia bermimpi bertemu dengan seorang lelaki dan lelaki itu berkata,

Inilah balasan terhadapmu dengan sebab engkau hormat dan berbakti pada bapamu.

Ini hanyalah balasan sementara di dunia.

Adapun balasan di akhirat jauh lebih baik daripada balasan di dunia ini. 

 

Rujukan: Himpunan Kisah-kisah Teladan 3 terbitan Syarikat Nurulhas.