, ,

Kisah Jin Masuk Islam Setelah Penduduk Thaif Menolak Dakwah Rasulullah

Dalam perjalanan pulang ke Makkah dari Thaif, Rasulullah terus berjalan sehingga tiba di kebun kurma dan berehat di situ.

Pada tengah malam, Baginda bangun dan menunaikan solat. Pada ketika itu, ada tujuh orang jin melintasi kawasan itu dan mendengar ayat Al-Quran yang dibaca Rasulullah. Selesai solat, semua jin itu kembali kepada kaum mereka dan menyampaikan apa yang didengar. Kisah jin ini diceritakan Allah di dalam Al-Quran:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (agama Islam).”

(Surah Al-Ahqaaf 46:29-30)

Selain itu, diturunkan juga surah Al-Jin yang menceritakan berkaitan peristiwa ini. Sampai sahaja di Makkah dengan jaminan keamanan daripada Muth’im bin Adi, Rasulullah membacakan surah Al-Jin kepada sahabatnya.

Kini, para sahabat tahu bahawa mereka tidak bersendirian tetapi ada juga dalam kalangan jin yang berdakwah untuk menyampaikan Islam.

Setelah beberapa bulan, sejak pertemuan kelompok pertama daripada kalangan jin, Rasulullah berjumpa lagi dengan kelompok kedua yang mana mereka datang dengan penuh kerinduan untuk berjumpa Rasulullah dan mendengarkan bacaan ayat Al-Quran.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)