, ,

Kuda Suraqoh Bin Malik Tersungkur Saat Mendekati Rasulullah

Rasulullah dan Abu Bakar telah berjaya keluar dari Makkah dan meneruskan perjalanan hijrah ke Madinah.

Namun, perkara sebegini tidak disukai kaum Quraisy, lalu mereka memberikan suatu tawaran kepada sesiapa sahaja yang berada di kawasan sekitar lembah Makkah. Apa tawarannya?

Barangsiapa yang berjaya menangkap Rasulullah, dalam keadaan hidup atau mati, maka dia akan diberi hadiah sebanyak seratus ekor unta.

Berita ini tersebar termasuklah kepada Suraqah bin Malik iaitu ketika dia bersama kaumnya Bani Mudlij. Kebetulan, Suraqah tahu keberadaan rombongan Rasulullah, malah sempat pula dia menipu utusan kaum Quraisy tentang hal itu kerana dia sendiri menginginkan hadiah.

Setelah itu, dia meninggalkan kaumnya dan pulang ke rumah, lalu dia memerintahkan hamba abdinya untuk mengambil kuda dan alatan panah.

Sebelum memulakan perjalanan, sempat juga dia mengeluarkan tabung undian, iaitu suatu alat kaum jahiliah untuk membantu mereka membuat keputusan, sama ada ingin lakukan atau tidak.

Namun, undian itu menyatakan supaya Suraqah tidak meneruskan niatnya untuk menyakiti Rasulullah, tetapi dia abaikan sahaja dan meneruskan perjalanan.

Ketika sudah hampir dengan rombongan Rasulullah, secara tiba-tiba kudanya tersungkur ke tanah dan kedua kakinya terperosok masuk ke dalam bumi sehingga bahagian lutut, beberapa kali. Dia mengeluarkan tabung undian, malah masih lagi mendapat hasil sama iaitu tidak meneruskan niat untuk menyakiti Rasulullah.

Lalu, Suraqah mengalah dan menjerit bahawa dia tidak akan menyakiti rombongan Rasulullah, maka Rasulullah berhenti. Suraqah berjaya menunggang kudanya semula dan mendekati Rasulullah, saat itu dia sudah merasakan bahawa agama Rasulullah akan mendapat kemenangan (agama yang benar).

Suraqah menceritakan segala perancangan kaum Quraisy, malah sempat juga dia menawarkan bekalan kepada rombongan Rasulullah, namun Baginda tidak mengambilnya dan hanya memberitahu, “Rahsiakan perjalanan kami.”

Setelah itu, Rasulullah bersama rombongannya meneruskan perjalanan menuju Madinah.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)