,

Ketidaksempurnaan Si Pemakai Hijab

Pengertian Hijab pada akhir zaman sering disalah ertikan.

Mereka menganggap hanya sebilangan mukmin sahaja yang berhak menyarung hijab.

Mereka seakan takut dengan lidah puaka masyarakat jahil yang seringkali melemparkan tuduhan kesat terhadap si pemakai hijab.

Bagi mereka, sehelai kain itu belum mampu menentukan tempat tinggal azali mereka di akhirat.

Dan bagi mereka, hanya golongan pendakwah realiti televisyen yang layak berhijab, kononnya dengan niat meraih follower di laman sosial.

Netizen yang lain semakin diracuni pemilik lidah puaka supaya membenci hijab.

Hijab mungkin bukan penentuan utama, tapi syarat utama bagi seorang wanita Islam. Berakhlak atau tidak, semuanya bergantung pada kesempurnaan solat, sekerap mana bertaubat dan niat sebenar diri menyarung hijab.

Fikiran terasa penuh. Terlalu banyak yang ingin diceritakan dan yang perlu disampaikan.

Ayat-ayat terbaik cuba dieja untuk dikarang bagi menyentuh mata yang menelaah.

Cerita bermula dengan watak Aku.

Minda terbang pada suatu ketika aku dan beberapa rakan yang lain sedang dalam himpunan kecil taman-taman syurga. Kami berada dalam bulatan cinta. Naqibah Lili memperdengarkan satu ayat yang dipetik dari surah an-Nur ayat 31. Dibacakan maksudnya sekali.

Aku terkedu membaca tafsiran ayat itu. Pada waktu itu jugalah aku cuba menyembunyikan kakiku yang bertelanjang dan tudung kecilku yang kurang sempurna lantaran malu dengan teguran Allah itu.

Ya, aku manusia yang dilahirkan Islam sejak azali. Diajar bertudung dari kecil. Aku tak pernah buka tudungku di sekolah lantaran peraturan ketat. Dan aku akui, tudungku masih kurang sempurna.

Zaman remaja aku lalui dengan penuh lalai. Kenapa lalai? Sebab tiada usaha mengenali quran setelah beberapa tahun khatam.

Usia 16 antara usia kemuncak hati dan minda berbalah membuat keputusan antara nafsu dan taat.

Aku akui dengan suruhan Tuhan, tapi lebih bertuankan nafsu dengan kehadiran cinta di usia itu. Cinta pertama di alam persekolahan. Ramai yang mengalaminya, tak kurang yang cuba menghindarinya.

Tak terkecuali aku. Aku dirisik nakal sang jejaka dengan perjanjian cinta waktu itu. Aku cuba fokus dalam ibadah belajar, Cuma minda kebudak-budakkan lebih menarik diri untuk lari dari fokus utama.

Melihat tingkahlaku aku, si jejaka makin berani. Dia nyatakan aku akan lebih cantik tanpa hijab. Dia umpama suami, aku seakan cuba taat untuknya.

Lalu aku cuba ringan-ringankan auratku di hadapannya. Aku raikan hasratnya melihat rambutku. Aku tidak lupa mengirim gambar tidak bertudung yang aku sediakan “khas” untuknya.

Namun, hubungan kami tak panjang. Aku mendapat khabar dia ditangkap polis atas tuduhan cubaan merogol sepupu mudanya. Aku terkedu dan menangis hiba tak henti. Aku tak pasti dengan perasaan sendiri, sayang atau kesal atau gembira atau apa sahaja.

Marah dengan cerita tergantung?

Tenang, ada beberapa bingkisan dan nasihat yang diselit dalam fiksi ini. Bukan membuka aib sesiapa, tetapi nak menjawab beberapa tohmahan masyarakat terhadap pemakaian hijab.

Aurat sering dianggap ringan bagi sebilangan Muslim.

Kenapa si gadis tudung mengumpat? Kenapa si gadis tudung terlanjur? Kenapa dia buka tudung?
Kenapa tiba-tiba si penzina bertudung litup? Kenapa susah nak istiqamah?

Pembacaku sayang, baliklah pada kitab al-Quran dan pengasas agama kita. Jangan menilai buruk baik sesuatu hukum berlandaskan contoh manusia yang tidak maksum.

Bukankah si pemakai tudung juga berhak memohon hidayah. Bukan berlagak dengan hidayah. Hidayah boleh pergi dengan tiba-tiba andai tidak dijaga sempurna. Allahua’lam.

Maha suci Allah yang mengurniakan ribuan pahala bagi mata-mata yang sudi menghadam isi hati penulis yang serba kurang ini.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Mawaddah Hasliana binti Mohd Husni. Beliau merupakan pelajar Sarjana Sains di Universiti Malaysia Pahang.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.