,

Kenapa Rasulullah Dan Para Sahabat Menuju Ke Makkah Pada 6 Hijrah?

Ketika Rasulullah berada di Madinah, Baginda bermimpi bahawa Baginda dan para sahabat memasuki Madinah dalam keadaan berihram dan menunaikan umrah. Baginda juga membawa haiwan qurban untuk mengagungkan Baitullah.

Setelah disampaikan mimpi itu kepada para sahabat, mereka berasa sangat gembira dan mengambil keputusan untuk bertolak ke Makkah pada hari Isnin bulan Zulkaedah tahun 6 hijrah.

Kaum Muslimin sangat merindukan Makkah, sangat merindukan tawaf di Kaabah, apatah lagi kaum Muhajirin kerana di situlah mereka lahir dan membesar.

Menurut bangsa Arab, Kaabah bukan hanya dimiliki kaum Quraisy saja kerana ia adalah warisan daripada Nabi Ismail. Jadi, kaum Quraisy tiada hak untuk menghalang sesiapun daripada bangsa Arab untuk berkunjung ke Kaabah.

Berita mengenai keberangkatan Rasulullah dan para sahabat ke Makkah tersebar luas dalam kalangan kabilah Arab, namun Baginda tegas menyatakan bahawa tujuan mereka bukan untuk berperang tetapi untuk berumrah dan mengagungkan syiar-syiar Allah.

Namun, Rasulullah tetap berwaspada apabila mengutuskan Bisyr bin Sufyan Al-Khuza’I sebagai pengintip. Bisyr bersama dua puluh sahabat berada di hadapan rombongan Rasulullah untuk memeriksa segala hal yang berkemungkinan berlaku seperti serangan musuh dan sebagainya.

Selain itu, Baginda juga menerima saranan Umar ketika di Dzul Hulaifah supaya membawa senjata dan kenderaan kerana dikhuatiri tiba-tiba mereka diserang. Lalu, Baginda mengutuskan sahabat ke Madinah untuk membawa senjata dan kenderaan.

Secara tidak langsung, ia memberi pengajaran kepada kita supaya melakukan persediaan dalam apa saja situasi yang mendatang, bukan hanya sekadar terus bertawakal dan menyerahkan segala pada Allah tanpa melakukan apa-apa usaha.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)