Perang Tabuk berlaku pada bulan Rejab tahun ke-9 hijrah. Perang ini disebut Tabuk kerana diambil dari tempat terjadinya peperangan ini, iaitu di mata air Tabuk, melalui riwayat hadith yang disebutkan dalam kitab Sahih Muslim.
Rasulullah bersabda: “InsyaAllah besok kamu akan sampai ke sebuah mata air di Tabuk. Dan kamu tidak akan sampai ke sana sebelum tengah hari. Maka siapa yang sampai ke sana lebih dahulu, sekali-kali jangan menyentuh airnya sebelum aku tiba di sana.” (Hadith riwayat Muslim)
Tabuk merupakan kawasan milik Qadhaah yang berada di bawah kekuasaan Romawi pada ketika itu.
Selain itu, perang ini juga memiliki nama lain, iaitu perang Al-‘Usrah yang bermaksud “masa kesukaran”. Nama ini disebutkan di dalam Al-Quran ketika menceritakan tentang perang ini.
“Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka.” (Surah At-Taubah 9:117)
Kenapakah disebut masa kesukaran? Kerana pada itu, kaum Muslimin berada dalam keadaan yang begitu sukar. Cuaca pada ketika itu sangat panas, jarak Tabuk yang sangat jauh iaitu di selatan Hijjaz sejauh 778 km dari Madinah, bekalan makanan dan air yang tidak mencukupi.
Sehinggakan di dalam Tafsir Abdurrazzaq, diceritakan bahawa kaum Muslimin terpaksa menyembelih unta dan meminum air yang ada di perut unta kerana bekalan air sangat minimum.
Nama lain bagi perang ini juga ialah perang Al-Fadhihah yang bermaksud “mengungkap hakikat kaum munafik.”. Hal ini adalah kerana peperangan ini menyerlahkan lagi perangai sebenar kaum munafik, cara permusuhan mereka dan mengungkap permusuhan mereka kepada kaum Muslimin.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)