Akibat pengkhianatan perjanjian yang dilakukan yahudi bani An-nadhir, maka Rasulullah mengutuskan Muhammad bin Maslamah untuk memberitahu yahudi bani An-nadhir supaya meninggalkan tempat mereka dalam masa sepuluh hari, jika tidak mereka akan diperangi.
Yahudi bani An-nadhir akur, lalu mereka mempersiapkan diri untuk pergi. Namun, Abdullah bin Ubay iaitu ketua munafik mengutus seseorang untuk menghasut yahudi bani An-nadhir supaya tidak meninggalkan tempat mereka, malah golongan munafik ini kononnya akan membela dan berperang bersama mereka.
Kaum yahudi itu kembali mempunyai keyakinan untuk melawan kaum muslimin, lalu mereka mengutus Judai bin Akhtab kepada Rasulullah dan memberitahu bahawa mereka tidak akan tinggalkan tempat mereka.
Setelah sepuluh hari dan mereka tetap tidak meninggalkan tempat mereka, maka kaum muslimin pergi ke sana dan mengepung mereka selama lima belas malamnya.
Allah menyusupkan rasa takut dalam hati yahudi bani An-nadhir, apatah lagi apabila Abdullah bin Ubay tidak menepati janjinya untuk menolong mereka. Mereka berputus asa, lalu menghantar utusan kepada Rasulullah agar mereka diberikan jaminan keselamatan hingga mereka meninggalkan tempat tersebut.
Maka, Rasulullah izinkan untuk mereka keluar dan membawa barang-barang, kecuali baju besi dan senjata. Sempat juga mereka merobohkan atap, tiang dan dinding rumah mereka agar kaum muslimin tidak dapat memanfaatkannya.
Proses pemindahan mereka dari Madinah dipimpin oleh Muhammad bin Maslamah atas perintah Rasulullah. Mereka keluar membawa barang-barang menggunakan enam ratus ekor unta. Sebahagian daripada mereka menuju Khaibar, sebahagian lagi menuju ke Adzri’at di Syam.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)