,

Kemuliaan Asiah Di Sisi Allah

Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya masa tulis pasal Asiah ni adalah…

“Macam mana Asiah boleh pilih Firaun, sejahat-jahat manusia yang mengaku tuhan, sebagai suami?”

Setelah saya baca kisahnya, barulah saya tahu bahawa Asiah dan Firaun bukannya ‘bercinta-cinta’ atau ‘suka sama suka’ macam anak muda zaman sekarang, tetapi hakikatnya Firaun yang memilih Asiah sebagai isteri kerana terpikat dengan kecantikan yang dimiliki Asiah.

Sebagai orang biasa, Asiah tidak ada pilihan lain dan terpaksa akur saja dengan arahan Firaun sebagai raja, lalu jadilah mereka sebagai suami isteri.

Namun, setiap perkara yang berlaku bukanlah sia-sia, ada sebab kenapa Allah memilih Asiah, seorang wanita yang suci dan solehah, untuk berdamping dengan sejahat-jahat manusia iaitu Firaun.

Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, saya nak kongsi kepada korang mengenai dua hadith yang menunjukkan kemuliaan Asiah, isteri Firaun.

Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

حَسْبُكَ مِنْ نِسَاءِ الْعَالَمِينَ مَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ وَخَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ وَفَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ وَآسِيَةُ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ

“Cukuplah bagimu daripada wanita (penghulu) dunia ialah Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhammad serta Asiah isteri Firaun.” (Hadith riwayat Tirmidzi)

Dalam hadith lain pula,

كَمَلَ مِنْ الرِّجَالِ كَثِيرٌ وَلَمْ يَكْمُلْ مِنْ النِّسَاءِ إِلَّا مَرْيَمُ بِنْتُ عِمْرَانَ وَآسِيَةُ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ وَفَضْلُ عَائِشَةَ عَلَى النِّسَاءِ كَفَضْلِ الثَّرِيدِ عَلَى سَائِرِ الطَّعَامِ

“Manusia yang sempurna daripada kalangan lelaki itu banyak, namun tidak ada manusia sempurna daripada kalangan wanita melainkan Maryam binti ‘Imran dan Asiah isterinya Fir’aun. Dan keutamaan Aisyah (isteri Rasulullah) terhadap wanita-waita lain bagaikan keutamaan makanan tsarid (bubur) dibandingkan seluruh makanan lain.” (Hadith riwayat Bukhari)

Rasulullah sendiri mengiktiraf kedudukan Asiah di sisi Allah, jadi sudah pasti Asiah bukan wanita sembarangan.

Nota kaki : Artikel ini ditulis oleh Aizuddin Hamid. Layari https://t.me/aizuddinhamiid untuk perkongsian bermanfaat.