, ,

Kematian Hanzhalah Bin Abu Amir Dalam Perang Uhud

Dalam perang Uhud, Hanzhalah berjaya menjatuhkan kuda Abu Sufyan bin Harb, namun kaum musyrikin berusaha untuk melindungi Abu Sufyan termasuklah Al-Aswad bin Syaddad yang berjaya menghalang Hanzhalah lalu menombak Hanzhalah.

Tidak berputus asa, Hanzhalah berjalan dalam keadaan parah ke arah Al-Aswad untuk menyerang, namun Hanzhalah ditombak buat kali kedua sehingga dia wafat.

Jenazah Hanzhalah dimuliakan oleh para malaikat. Kata Rasulullah, “Sesungguhnya aku melihat memandikan Hanzhalah di antara langit dan bumi dengan air hujan beralaskan perak. Tanyalah kepada isterinya ada apa dengannya?”

Kemudian, para sahabat ketemu isteri Hanzhalah dan dia mengatakan: “Hanzhalah pergi dalam keadaan junub. Dia langsung bergegas pergi ketika mendengar suara seruan perang.” Rasulullah berkata: “Itulah sebabnya mengapa dia dimandikan oleh malaikat.”

Secara tidak langsung, ia menunjukkan kecintaan Hanzhalah kepada Islam, sedangkan dia baru saja berkahwin dan melakukan hubungan suami isteri, namun kerana tergesa-gesa dalam menyahut seruan perang, Hanzhalah sendiri tidak sempat untuk menunaikan mandi wajib.

Hanzhalah telah bernikah dengan Jamilah binti Abdullah bin Ubay dan mereka menjalani malam pengantin pada malam menjelang perang Uhud tersebut. Hanzhalah meminta izin untuk tidur bersama isterinya pada malam itu, lalu Baginda memberi keizinan.

Setelah solat Subuh, Hanzhalah ingin menemui Rasulullah tetapi Jamilah mendekatinya sehingga mereka melakukan hubungan suami isteri lagi. Disebabkan tergesa-gesa, Hanzhalah pergi berperang dalam keadaan junub.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)