, ,

Kematian Amr Bin Al-Jamuh Dalam Perang Uhud

Amr bin Al-Jamuh merupakan seorang yang tempang kakinya. Dia mempunyai empat orang anak lelaki yang mana kesemuanya mengikut perang bersama Rasulullah iaitu Khallad, Mu’awwidz, Mu’adz dan Abu Aiman.

Ketika perang Uhud, anak-anaknya menahan agar Amr tidak ikut pergi berperang kerana keadaan fizikalnya yang tidak mengizinkan. Mereka mengatakan bahawa Allah akan memaafkannya.

Lalu, Amr datang ketemu Rasulullah dan menyatakan bahawa: “Wahai Rasulullah, anak-anak saya ingin menahan saya dari peperangan ini. Mereka menahan saya agar tidak ikut pergi bersamamu. Demi Allah, saya ingin melangkah dengan kepincangan (tempang kaki) saya ini di dalam syurga.”

Respon Baginda: “Allah telah memaafkanmu, engkau tidak diwajibkan berjihad.” Namun, dalam masa yang sama, Baginda juga berpesan kepada anak-anaknya: “Kamu tidak boleh menahannya, semoga Allah memberikan syahid kepadanya.”

Maka, Amr tetap mengambil keputusan untuk ikut berperang. Dengan izin-Nya, Amr termasuk dalam kalangan orang yang syahid dalam perang Uhud.

Dalam riwayat lain pula ada disebutkan bahawa Amr berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana menurutmu jika aku berperang di jalan Allah hingga aku terbunuh? Apakah di dalam syurga aku akan berjalan dengan kaki yang tidak cacat?” Rasulullah menjawab: “Ya.”

Kisah Amr bin Al-Jamuh mempunyai dua pengajaran, iaitu:

  • Orang yang dimaafkan Allah untuk tidak ikut berjihad, dia masih lagi boleh ikut berperang walaupun tidak wajib.
  • Disebabkan kejujuran dan keberanian Amr bin Al-Jamuh, maka Allah kurniakan syahid.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)