, ,

Gosok Gigi Cara Sunnah

Nabi sangat suka bersiwak (menggosok gigi). Apa pula yang dimaksudkan dengan kayu siwak?

Siwak (atau disebut juga miswak) merupakan kayu daripada ranting pohon Aarak atau Peelu, yang lazim terdapat di jazirah Arab. Nama latinnya: Salvadora Persica.

Siwak inilah yang biasa digunakan sebagai sikat gigi sekaligus pasta gigi yang terkenal di jazirah Arab.

Melalui perkongsian sisipan Ezy Dakwah, saya kongsikan semula bila waktu Nabi suka bersiwak dan bagaimanakah caranya beliau bersiwak (menggosok gigi).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Bersiwak itu membersihkan mulut, menyukakan Tuhan.” (Hadis riwayat Ahmad).

Bila waktu Nabi menggosok gigi (bersiwak)?

Antara waktu Nabi bersiwak:

  • Ketika hendak solat

Sabda Nabi SAW, “Kalau bukan kerana akan memberatkan umatku, tentulah kuperintahkan mereka untuk bersiwak setiap kali hendak solat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

  • Ketika hendak masuk rumah

Diriwayatkan daripada Syuraih bin Hani, ia berkata: “Aku bertanya kepada Aisyah, ‘Apa yang dilakukan pertama kali oleh Rasulullah SAW jika memasuki rumahnya?” Aisyah menjawab, “Bersiwak”. (Hadis riwayat Muslim).

  • Ketika bangun tidur

“Baginda tidak tidur melainkan siwak ada dengan Baginda. Sebaik sahaja terjaga, Baginda mulakan dengan bersiwak.” (Hadis riwayat Ahmad).

  • Ketika hendak baca al-Quran

Sayidina Ali pernah berkata, “Sesungguhnya mulut-mulut kamu lorong laluan bagi al-Quran. Justeru, wangikannya dengan bersiwak!” (al-Tahmid)

Cara Nabi (bersiwak) gosok gigi berdasarkan hadis:

  • Basuh berus dahulu

Sayidatina Aisyah menceritakan, ”Rasulullah SAW selalu bersiwak. Setiap kali Baginda bersiwak, Baginda akan menyerahkan siwak tersebut untuk kubasuh. Lalu aku menggunakan untukku dahulu, kemudian kubasuh semula, dan aku menyerahkan kembali kepadanya.” (Hadis riwayat Abu Dawud).

  • Berus Lidah

Abu Burdah menceritakan pengalaman ayahnya, “Aku datang kepada Rasulullah SAW, kudapati Baginda SAW sedang menggosok giginya dengan kayu siwak di tangannya dan berbunyi ‘agh, agh!’ Seolah-olah akan muntah.(kerana menggosok lidah).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat lain menyebut, “…hujung siwak diletak pada lidah dan diberus…” (Hadis riwayat Muslim)

  • Kanan ke kiri

Hendaklah bersiwak dengan menggosok bahagian kanan gigi, setelah itu bahagian yang kiri. Hal ini sesuai dengan hadis ‘Aisyah:

“Adalah menyenangkan Rasulullah untuk memulai dengan yang kanan ketika memakai kasut, berjalan, ketika bersuci, dan dalam semua keadaan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

  • Sangat suka berus gigi

Sayidatina Aisyah meriwayatkan, “Suatu hari Abdul Rahman bin Abu Bakar As-Sidik RA menemui Rasulullah SAW. Abdul Rahman RA membawa siwak yang basah yang dia gunakan untuk bersiwak. Dan Rasulullah memandang siwak tersebut (dengan pandangan yang lama).

Lalu aku berkata, “Berikan kepadaku kayu siwak ini, wahai Abdul Rahman.”

Beliau terus menyerahkannya kepadaku. Maka aku pun lalu mengambil siwak itu dan menggigitnya (untuk dibersihkan) kemudian aku menyerahkan siwak tersebut kepada Rasulullah, maka Baginda pun bersiwak dengannya sambil bersandar kepadaku.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ini mengisyaratkan bahawa seorang Muslim seharusnya dalam keadaan terbaik setiap masa.

Jadi marilah kita sama-sama sentiasa menjaga kebersihan diri di samping mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Jika tiada gigi disunatkan juga. Boleh menggosok gusi, lidah dan lelangit. Faedah siwak ini bukan sahaja bersihkan gigi, tetapi turut kuatkan gusi dan menghalang pertumbuhan bakteria dalam mulut.

Setidak-tidaknya akan dapat pahala mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Insya-Allah.

“…Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW  kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. ..” – (Maksud al-Hasyr ayat 7)

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Anem Arnamee. Terlibat dalam beberapa buah antologi cerpen dan puisi. Boleh juga mengikuti perkembangan beliau di https://arnamee.blogspot.my

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.