Sejak kaum muslimin tahu tentang Rasulullah dalam perjalanan menuju Madinah, setiap pagi mereka akan ke pinggir Madinah dan hanya pulang setelah matahari terik pada waktu tengah hari, semata-mata untuk menyambut rasul yang dicintai.
Akhirnya, penantian mereka berakhir apabila Rasulullah tiba juga, sehinggakan ada orang Yahudi yang tidak dapat mengawal dirinya dan bersuara keras: “Wahai sekalian orang Arab, ini dia bahagian kamu dan pemerintah negeri yang kamu tunggu-tunggu sudah datang.”
Lalu, keluarlah sekalian kaum muslimin untuk menjemput Rasulullah di gerbang kota Madinah. Peristiwa ini berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awal.
Ada orang di Madinah yang masih belum pernah melihat Rasulullah, mereka terkeliru ketika melihat Abu Bakar yang sedang berdiri pada ketika itu manakala Rasulullah sedang duduk dan diam.
Mereka menyangkakan bahawa yang berdiri itulah Rasulullah, tiba-tiba Abu Bakar yang sedang berdiri itu menghampiri Rasulullah dan menutupinya dengan selendang untuk melindungi Baginda daripada panas terik matahari. Maka, barulah mereka sedar bahawa yang duduk itulah Rasulullah.
Sempat juga Baginda menginap di rumah Bani Amr bin Auf lebih sepuluh malam, iaitu di Quba yang juga sempadan Madinah. Rasulullah mendirikan masjid di Quba.
Hari kedatangan Rasulullah dan Abu Bakar ke Madinah merupakan suatu hari yang amat menggembirakan kaum muslimin.
Mereka berpakaian seperti mereka sedang menyambut hari raya, sedangkan hakikatnya itulah hari yang patut diraikan kerana seolah-olah ia merupakan hari perpindahan Islam dari ruang yang sempit di Makkah menuju ke Madinah yang luas dan diberkati.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)