Situasi yang sering terlukis dalam hidup sesiapapun, mencintai dan dicintai. Merasa indahnya cinta si dia, biarpun tak mengenali siapapun gerangannya.
Sahabat, tahukah anda? Setiap lelaki dan wanita yang sihat akal fikiran telah dikurniakan oleh Allah perasaan cinta dan kasih sayang dalam jiwanya. Cinta dan kasih sayang ini adalah suatu fitrah yang ada pada setiap insan.
Allah memiliki sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Sifat ini paling banyak disebut kerana mengatasi sifat lain. Allah sendiri menciptakan makhlukNya berpasang-pasangan agar boleh melahirkan dan menyambung zuritat keturunannya.
Sebagaimana dalam ayat 21 Surah Ar-Ruum Allah berfirman “Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasanNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai lelaki), isteri-isteri darijenis kamu sendiri,supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
Benar, tak siapa mampu menolak fitrah yang satu ini.
Namun tak kurang juga yang kecundang dikala masing-masing merencana hubungan dibina ke mahligai rumahtangga, lalu hadirnya kecewa bilamana impian dan harapan terlebur begitu saja.
Lalu mengapa adanya kecewa? Nah! Inilah bukti kasih sayang Sang Pencipta, hakikat sebenar aturan Dia penuh cinta buat hamba.
Kadang yang dibayang indah tidak lah seindah disangka, seiring dengan firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 216,“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi(pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
Anggaplah ia ujian sebagai teguran tanda kasihNya. Cubaan untuk menduga apakah kita tahu apa yang Dia redha dan dimurka?
Hikmah dalam rasa sedih ini tidak lain adalah untuk mendekatkan kembali kita kepada cinta Sang Pencipta sebelum mencintai hambaNya. Bukan suatu yang mudah tetapi begitulah kejadian yang telah diciptakan Yang Esa.
Di saat ujian ini datang, ketika ini juga lah Allah sedang mendepakan tanganNya untuk mendengar setiap rintihan dan kesedihan kita.Carilah semula kekuatan melalui jalan kasihNya.
Dan seharusnya kita tahu menghargai kedua ibubapa sebelum memberi rasa sayang buat insan lain. Memetik kata-kata Dr. Robiah Hamzah dalam sebuah forum bertajuk ‘Kahwin Muda’.
Menyingkap bagaimana pentingnya untuk memenuhi tanggungjawab sebagai anak terhadap ibu bapa terlebih dahulu sebelum mencintai orang lain, malah dalam satu lontaran pendapat beliau yang lain menyatakan anak yang berkasih dengan orang lain sebelum berbakti kepada orang tua adalah satu sifat yang tidak boleh dipandang rendah.
Jadi, inilah masanya kita manfaatkan setiap ruang yang ada untuk meraih lebih banyak kebaikan dunia dan akhirat.
Barangkali ada yang pernah tertanya-tanya, mengapa cinta itu hadir lalu didatngkan pula sakitnya, kenapa tidak boleh api bahagia tu menyala sentiasa?
Kenapa ia hadir jika bukan insan itu sebetulnya pemilik hati yang ditentukan Illahi? Sahabat, inilah ujian bukti kita tak punya apa-apa daya melainkan dengan kusa Dia yang Esa. Sedarkah tika sedang bahagia itu melayar, kita seolah lupa akan Allah yang mencipta rasa?
Mari nilai semula apakah sempurna tiap titis rasa kita tabur buat dia sehingga kadangkala meninggalkan Dia?
Percaya, kehidupan seseorang takkan pernah sama dengan hidup orang lain. Setiap helaian terlukis berbagai cerita, sama ada suka atau duka, yang penting, semuanya warna kehidupan.
Sedarilah kawan, takkan pernah kita sendiri melainkan Allah yang menemani. Bersyukur, begini jalan hidup kita, tak melata bahkan tak tersesat jauh ke lembah yang mengundang kemurkaanNya.
Kebenarannya, fitrah manusia tidak salah dan tidak boleh dinafikan. Tetapi perlulah dikendalikan berdsarkan syariat Islam serta berasaskan iman dan takwa. Carilah cinta Dia, pasti hadir cinta dia yang luar biasa.
Aku tahu
Engkau membuat aku tersungkur
Kerana tidak mahu ingatanku terhadapMu terkubur
Aku tahu
Engkau tidak mahu aku terus hanyut
Dibawa ribut yang akhirnya nanti
Aku tidak dapat diselamatkan lagi.
Lalu
Engkau sentap layar jiwa ini, agar luncurannya tahu berhenti.
Sentapan itu
Biarpun menzahirkan derita, jauh di sudut hati,
Aku bahagia
Aku bahagia
Saat Engkau rindu dan memaksa aku kembali kepadaMu
Aku bahagia
Saat Engkau cemburu lalu menghalau
Apa pun, bahkan siapapun yang cuba mengambil tempatMu di hatiku.
Aku tahu
Engkau mahu tempat itu
Sentiasa terkhusus buatmu
Teruslah melihat wahai Yang Maha Melihat
Pandulah sewaktu aku tersesat.
Cebisan Karya : Bonda Nor
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Ummi Nadhirah bt Mustafa.
Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.