, ,

Bila Hati Dah Suka…

“Hmmm… kenapa aku asyik teringatkan lelaki / perempuan tu? Ke aku dah jatuh hati kat dia?”

Persoalan paling relevan bagi seseorang yang mungkin ada perasaan terhadap seseorang yang diminati atau disukai atau dicintai.

Sama ada diminati atau disukai dalam diam atau secara terang-terangan menunjukkan tanda-tandanya.

Secara logiknya apabila mempunyai perasaan sebegitu, adakah ia membuatkan seseorang itu berada di alam realiti atau sekadar di alam fantasi semata-mata.

Dengan berkhayal bahawa seseorang yang disukainya itu akan menjadi isteri / suaminya, yang sentiasa bersikap romantik melayaninya, membelai-belai atau mengusap kepala selalu ketika bermanja dan berbagai lagi angan-angan yang dibayangkan.

Kebiasaannya yang mempunyai angan-angan sebegini hebat adalah kaum wanita berbanding orang lelaki yang tidak begitu ambil peduli sangat sebelum sesebuah perhubungan itu benar-benar terjadi di alam realiti dan menuju ke alam perkahwinan.

Jatuh hati dan suka terhadap seseorang itu normal dalam kehidupan.

Bahkan tanda-tanda bahawa seseorang manusia itu sudah baligh dan sudah bersedia untuk menjadi seorang yang mukallaf iaitu yang dibebani segala macam tanggungjawab ke atasnya dan diperintahkan untuk melaksanakan perintah-perintah wajib sebagaimana yang ditetapkan Allah Taala.

Namun, sejauh manakah kita berusaha mengawal perasaan itu supaya tidak terlalu berlebihan?

Semua ini sangat penting agar perasaan itu tidak menjadikan kita terlalu berharap terhadap perkara yang masih belum pasti serta menyedarkan diri kita agar sentiasa berada di bawah ‘pemikiran yang rasional’.

Bagaimana yang dikatakan ‘pemikiran yang rasional’ dalam hal ini? Jawapannya adalah tidak semestinya seseorang yang kita minat, suka atau pun yang kita cinta akan menjadi milik kita.

Mengapa pula perlunya ada pemikiran ‘rasional’ yang sebegini? Hal ini kerana untuk mengelakkan diri daripada kecewa yang berlebihan suatu hari nanti sekiranya orang yang kita cintai ditakdirkan berjodoh dengan orang lain.

Benarlah bahawasanya cinta terhadap manusia itu sangat lemah berbanding cinta yang tinggi terhadap Allah.

Apabila seorang manusia mencintai seseorang, dia akan turut membenci atau tidak senang sekiranya ada lagi manusia lain yang turut mencintai orang yang dicintainya itu dan merasakan bahawa dirinya sahaja yang layak untuk mencintai.

Tetapi apabila seorang hamba yang mencintai Tuhannya, dia akan turut mencintai orang yang mencintai Tuhannya.

Lihatlah! Jauhnya perbezaan darjat apabila menjadikan Tuhan yang paling utama dibandingkan dengan nafsu.

Bagaimana pula untuk mengenal pasti sama ada cinta itu kerana Allah ataupun hanya nafsu semata-mata?

Saya pernah bertanyakan soalan ini kepada Ustazah Fatimah Syarha dalam satu program beliau yang pernah saya hadir.

Beliau pernah beritahu, jika kita nak tahu apa beza antara cinta kerana Allah ataupun nafsu, lihatlah bagaimana rupa ibadah kita. Adakah semakin bertambah atau semakin terganggu setelah kita mempunyai perasaan terhadapnya. Lebih kurang begitulah ayat ustazah.

Akhir sekali, apa yang hendak saya pesan di sini adalah jika sudah ada seseorang yang telah ‘mencuri’ hati kita, janganlah terlalu meletakkan harapan yang tinggi. Bukan apa, takut kecewa di kemudian hari.

Lebih-lebih lagi orang perempuan yang hatinya penuh dengan rasa sayang, yang begitu mudah terpesona dengan ayat-ayat manis.

Kuatkanlah hati kamu agar tidak mudah memberi kasih sayang itu kepada orang lelaki yang sebenarnya tidak layak pun untuk mendapatkan kasih sayang kamu yang mahal itu melainkan apabila si dia sudah bergelar suami.

Siasatlah terlebih dahulu si lelaki yang kamu suka itu yakni akhlaknya, cara layanannya terhadap ibu bapa dan adik beradiknya, psikologi tentang dirinya pula bagaimana. Setakat rupa yang handsome sahaja tidak cukup. Boleh jadi rupa tampan, tapi cepat naik tangan.

Andai si lelaki ajak untuk keluar berdua-duaan, jangan dipenuhi pelawaannya. Itu tanda kamu sudah termakan dengan ayat cairnya. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi lebih-lebih lagi risau jikalau maruah yang diambilnya.

Jangan mudah jadi ‘perasan’ apabila si lelaki bermain ayat-ayat manis. Sebab rata-ratanya lelaki yang mudah mengungkapkan ayat manis sebegitu, hakikatnya bukan kamu seorang sahaja yang telah di’tackle‘nya, sebenarnya sudah ramai wanita yang telah menitis air mata menangis kerana berasa hati dipermainkan.

Apatah lagi apabila si lelaki bertanya soalan seakan-akan soalan tersebut hanya sesuai untuk yang serius mahu berkahwin, rupa-rupanya bukan. Mungkin si lelaki tersebut hanya sekadar mahu test reaksi sahaja.

Ataupun boleh jadi juga kita sebagai orang perempuan cepat perasan sedangkan lelaki itu bertanya begitu untuk jadi orang tengah ataupun untuk tolong carikan jodoh bagi pihak kawannya. Lagi-lagi apabila si lelaki yang bertanya itu adalah yang diminati dalam diam, mana tak perasan, kan?

Pendapat saya, seboleh-bolehnya tidak usahlah orang perempuan yang ‘start’ dulu apabila suka terhadap si lelaki. Orang dulu sebut sebagai ‘perigi cari timba’. Ini hanya sekadar pendapat saya sebab saya lihat ia sangat tidak sesuai dengan uruf atau pun keadaan sekarang.

Mungkin kalian pernah dengar kisah Saidatina Khadijah yang terlebih dahulu memulakan langkah meminang Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Maisarah, orang yang dipercayainya.

Tambahan lagi dengan keadaan sekarang yang kebanyakan orang melihat murahnya nilai wanita berbuat begitu ditambah pula dengan cara pemikiran yang tidak rasional.

Tapi, bergantung kepada keadaan kalianlah pula bagaimana. Kalau waktu itu yang sesuai untuk kalian yang memulakan langkah, apa salahnya? Yang penting, cari perantara yang amanah dan boleh dipercayai.

Pesanan ringkas saya untuk golongan lelaki pula, hati wanita mudah sekali terusik. Jika kamu lelaki yang baik, kamu tidak akan merosakkan makhluk yang Allah utuskan untuk kamu jadi pelindung dan pemimpin baginya.

Ingat, jadi lelaki bukan mudah. Setiap satu akan dipersoalkan kelak.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Najia Binti Mohd Maruzuki. Berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Masih belajar iaitu di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu. Beliau juga menulis di blog https://hantulobakmerah.blogspot.my/ jika berkelapangan. Sekiranya ingin mengetahui lebih mendalam tentang penulis bolehlah follow di Instagram beliau iaitu @jiazuki dan Facebook : Najia Maruzuki.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.