,

Kaum Muslimin Tidak Pernah Patah Semangat Dalam Perang Khaibar

Kaum Muslimin bergerak dari Madinah menuju ke Khaibar yang terletak kira-kira 120 batu di selatan Madinah. Kaum Muslimin sedar bahawa yahudi bani Khaibar adalah kaum yahudi paling bengis dan paling kuat dari segi persenjataan.

Namun, perkara itu tidak mematahkan semangat kaum Muslimin. Mereka bertakbir dan tahlil dengan suara yang tinggi bagi menguatkan semangat. Setelah itu, Rasulullah mengatakan: “Wahai manusia, rendahkanlah suara kamu sekalian! Kerana kamus ekalian sesungguhnya tidak sedang memohon kepada yang tuli mahupun yang ghaib bahkan kamu sekalian sedang memohon kepada Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat yang selalu bersama kamu sekalian.” (Hadith riwauyat Bukhari)

Rasulullah juga ada menghantar pasukan pengintip. Mereka mendapat maklumat daripada orang yahudi yang bercerita mengenai ketenteraan yahudi bani Khaibar, namun mengatakan bahawa yahudi bani Khaibar juga takut kepada kaum Muslimin setelah apa yang berlaku pada yahudi bani Nadhir.

Ketika peperangan, berlaku pertempuran sengit. Malah, Rasulullah juga ada menyatakan: “Aku akan menyerahkan bendera esok hati kepada seorang yang dengan kuasa Allah, Allah akan memberikan kemenangan. Dia seorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya dan dicintai Allah dan Rasul-Nya.”

Para sahabat masing-masing berharap bahawa merekalah yang disebutkan Rasulullah itu, namun rupa-rupanya ialah Ali bin Abi Talib yang pada ketika itu sakit mata namun terus sembuh dengan izin Allah setelah Baginda meludah ke mata Ali dan berdoa untuk kesembuhannya.

Setelah itu, ketika peperangan berlangsung semula, Ali berjaya membunuh panglima yahudi dan kaum Muslimin berjaya memecahkan kubu-kubu tentera yahudi antaranya kubu Na’im, Qamush, Ash-Sha’ab bin Muaz dan lain-lain. Akhirnya, yahudi bani Khaibar mengaku kalah.

Rujukan : Kitab Kelahiran Teragung (Ustaz Muhadir Haji Joll)