,

Kisah Pendosa Yang Tawadhuk

Sewaktu ketika pada zaman Bani Israel seorang ahlil kitab, anak murid seorang syeikh besar kepada Bani Israel, sedang menuju ke suatu destinasi. 

Dalam perjalanan, di satu lorong, akan bertembung antara seorang pendosa dan pemaksiat.

Oleh kerana syeikh ini kedudukannya tinggi, jadi ada karamah daripada Allah, di mana saja dia pergi akan ada awan yang melindunginya di atas.

Apabila hendak bertembung, maka daripada jauh, si alim nampak si pendosa ini. 

Tersentak dalam hatinya yang dia akan terserempak dengan pendosa.

“A’uzubillah”, detiknya di dalam hati.

Dia menganggap dirinya lebih baik daripada si jahil itu. 

Dari jauh, orang jahil melihat dia akan terserempak dengan si alim, syeikh besar ahlil kitab, terdapat rasa tawadhuk dalam dirinya.

“Ya Allah, malunya aku hendak berhadapan dengan orang yang hampir dengan Tuhan.”

Apabila mereka terserempak, satu dengan perasaan merasa bahawa dirinya lebih baik, dan satu lagi merasakan dirinya rendah, dari segi amalannya, dari segi ilmunya. 

Maka apabila mereka berlalu, maka awan yang sentiasa melindungi syeikh tadi telah bertukar tidak lagi mengikut syeikh tetapi mengikut pendosa tadi.

Allah dan Jibril menghantar wahyu kepada Nabi pada zaman tersebut untuk memberitahu kepada kedua-duanya bahawa keduanya memulakan amalan semula. 

Disebabkan keangkuhan dan kesombongan si alim menyebabkan amalannya terhapus di sisi Allah dan dimulakan semula amalannya.

Kepada pendosa tersebut, Allah menghapuskan segala dosanya dan Allah mengurniakan dia hidayah dan memulakan amalan semula.

Lihatlah bagaimana orang yang merendah diri diberi kemuliaan oleh Allah, barangsiapa yang meninggikan diri, dia dihina oleh Allah.

Ulama’ tarbiyah mengatakan:

Tanda kejahilan dan kebodohan seseorang itu dengan sebenar-benar kebodohan adalah apabila dia memandang dirinya lebih baik daripada orang lain, dia berasa sombong dan dia mempercayai apa yang diperkatakan kepada dirinya daripada orang lain dan dia meninggalkan apa yang telah diberi keyakinan kepada dirinya.

Dia tahu jika orang tahu perkara yang dilakukannya di belakang tabir, sudah tentu Allah akan meludah kepada mukanya.

Orang tidak akan mendengar perkataannya. 

Tetapi dalam pada itu dia mempercayai orang lain yang mengatakan dia alim, bagus, soleh dan sebagainya sehingga alam fikiran dan pandangannya percaya apa yang dikata orang lain dan meninggalkan apa yang telah diberi keyakinan kepada dirinya. (dia sendiri tahu mengenai keburukan dirinya sendiri)

Terhadap pujian yang diberikan daripada orang lain, ada adab daripada hati:

  • Merasa diri tidak layak dan berhak untuk pujian.
  • Aminkan sangkaan baik orang.
  • Realisasikan/sempurnakanlah sangkaan baik mereka
Kesimpulannya, kita tidak boleh riak dengan amalan baik kita sendiri. 

Amalan baik boleh terhapus dengan sekelip mata begitu juga perbuatan jahat yang boleh terhapus dengan sekelip mata. 

Jangan menilai perbuatan seseorang itu dari luarannya, dan bergaullah dengan semua manusia secara saksama.

Boleh jadi kita yang merasa amalan baik kita banyak rupanya lebih hina dari orang yang kita sangkakan dirinya berperilaku buruk. 

Wallahu a’lam.

Rujukan:

Cocombee, Kisah Pendosa Yang Tawadhu'.. ᴴᴰ | Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari

https://www.youtube.com/watch?v=ym0lLl6p41U