,

Hassan bin Thabit-Khidmat Dengan Kelebihan Diri

Sebagai seorang manusia biasa, sudah tentu kita dikurniakan kelebihan dan kekurangan. 

Walaubagaimanapun, kelebihan tersebut bukanlah untuk dibangga-banggakan manakala kekurangan itu pula bukanlah pula untuk menjadi asbab untuk dihina dan dikecam

Semua itu bergantung kepada kita untuk pandai meletakkan diri kita di tempat yang sesuai.

Dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW, ada seorang sahabat Baginda yang namanya terkenal sebagai seorang penyair. 

Namun, beliau juga seorang yang penakut. Hal ini disebabkan oleh beliau langsung tidak menyertai sebarang peperangan bersama Nabi.

Sungguhpun begitu, kekurangan tersebut tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan menjadi sahabat Baginda SAW.

Dibantu Jibril AS

Siapa yang tidak mengenali sosok yang bernama Hassan bin Thabit

Seorang sahabat Ansar Baginda SAW yang berketurunan Khazraj dan seorang penyair terkenal di zamannya.

Sebelum memeluk Islam, syair-syair beliau banyak memuji para raja, kemegahan kaumnya dan kejayaan kaumnya mengalahkan musuh mereka. 

Namun, apabila memeluk Islam, bakatnya itu tidak dibiarkan mati. 

Bahkan, diguna pula untuk memuji Rasulullah SAW dan mempertahankan Baginda daripada celaan dan ejekan kaum musyrikin Quraisy.

Bukan itu sahaja, sebagai pengiktirafan kepada bakat istimewa ini, Rasullah SAW bahkan telah menyediakan sebuah mimbar untuk Hassan satu ruang di dalam Masjid Nabawi.

Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk beliau berdiri di situ dan melantunkan bait-bait syair yang memuji Baginda SAW

Sabda Nabi: “Sesungguhnya Allah membantu Hassan dengan Malaikat Jibril selagi mana dia mempertahankan Rasulullah SAW.”

Ketika itu, terdapat empat orang penyair Quraisy yang sering mencela Rasulullah SAW dengan syair-syair mereka. 

Mereka ialah Abu Sufyan bin al-Harith, Abdullah bin al-Zab’ari, ‘Amru bin al-‘Ash dan Dhirar bin al-Khattab

Maka, di sinilah peranan Hassan bin Thabit dapat dilihat.

Suatu hari, ada seorang lelaki mengadu kepada Ali bin Abi Talib: “Balaslah celaan mereka yang telah mencela kita!” 

Beliau menjawab: “Jikalau Rasulullah SAW mengizinkan aku, aku akan melakukannya.”

Lalu, Rasulullah mencelah: “Sesungguhnya Ali tidak memiliki kemampuan untuk melakukannya.” 

Ali bin Abi Talib berkata: “Apakah yang menghalang suatu kaum yang telah membantu Rasulullah SAW dengan pedang-pedang mereka untuk membantu pula dengan lidah-lidah mereka?”

Lalu, Hassan mencelah. Katanya: “Saya memiliki kemampuan tersebut. Saya akan membalas celaan tersebut." 

Mendengar kata-kata Hassan, Rasulullah bersabda: “Bagaimana kamu hendak membalas celaan mereka itu sedangkan Aku juga sebahagian daripada mereka? "

"Bagaimanakah kamu hendak membalas celaan Abu Sufyan bin al-Harith sedangkan dia itu merupakan anak lelaki ayah saudaraku?”

Jawab Hassan: “Saya akan membebaskan tuan daripada mereka sebagaimana menarik rambut daripada adunan tepung.” 

Kemudian, Rasulullah menyarankan Hassan: “Pergilah bertemu dengan Abu Bakar kerana dia lebih mengetahui tentang nasab keturunan berbanding kamu.”

Kemudian, Hassan pun bertemu dengan Abu Bakar sebagaimana yang diarahkan oleh Baginda. 

Setelah, itu beliau pun membalas celaan tersebut melalui syairnya.

Apabila syair tersebut sampai kepada pengetahuan orang Quraisy, mereka takjub lalu berkata: “Syair ini pasti tidak akan terhasil melainkan dengan bantuan Abi Qahafah (Abu Bakar al-Siddiq)!”

Tidak Pernah Menyertai Perang

 Hassan bin Thabit memeluk Islam tatkala Rasulullah SAW tiba ke kota Madinah. 

Ketika itu usianya sudahpun mencecah 60 tahun. 

Beliau telah menghabiskan sebahagian besar usia mudanya dalam bidang syair sehingga pernah mendapat peluang melantunkan bait-bait syairnya di hadapan raja Arab Kristian dari Bani Ghassan di Syria dan Lakhmi di Iraq.

Ketika itu beliau berpeluang bertemu dengan para penyair terkenal yang lain seperti al-Nabighah al-dzubyani dan ‘Alqamah al-Fahl. 

Maka, dapatlah kita fahami bahawa sebagai seorang penyair, pewatakannya tidaklah keras dan berani untuk bermain pedang. 

Ditambah dengan usianya ketika memeluk Islam barangkali tidak memungkinkan beliau untuk turut serta dalam peperangan.

Walaubagaimanapun, Rasulullah tidaklah mencela Hassan disebabkan kekurangan itu bahkan Baginda telah menghadiahi beliau seorang jariah milik Baginda yang merupakan saudara perempuan kepada Mariah al-Qibtiyah yang bernama Sirin. 

Lalu, daripadanya lahirlah anak lelaki beliau yang bernama Abdul Rahman.

Hal ini dicatatkan oleh Ibn al-Athir dalam Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah katanya: “

Hassan tergolong dalam kalangan mereka yang penakut hinggakan Nabi SAW menyuruh beliau duduk bersama golongan wanita ketika meletusnya Peperangan Khandaq.”

Ibn Ishaq menceritakan peristiwa tersebut bahawa turut ada bersama Hassan bin Thabit ketika itu ialah Safiyyah binti Abdul Muttalib, ibu saudara Nabi SAW. Safiyyah berkata: “

Ketika itu Hassan bin Thabit berada bersama kami di dalam satu benteng di Madinah bersama wanita dan kanak-kanak.” 

Lalu, tiba-tiba muncul seorang lelaki Yahudi yang ingin memanjat benteng tersebut.

Lalu Safiyyah berkata kepada Hassan: “Ada seorang lelaki Yahudi ingin menceroboh benteng seperti yang kamu lihat."

"Kami tidak mahu aurat kami dilihat oleh orang Yahudi itu."

"Rasulullah dan para sahabat yang lain pula sedang sibuk. Pergilah kepada dia dan bunuhlah dia!”

Jawab Hassan: “Semoga Allah mengampunkan kamu wahai anak perempuan Abdul Muttalib."

"Kamu pun tahu saya tidak mampu melakukannya.” 

Lalu Safiyyah pun mengambil sebatang kayu dan pergi ke sana. Lalu beliau pun memukul lelaki Yahudi tersebut sehingga mati. 

Setelah selesai, beliau pun kembali lalu berkata: “Wahai Hassan, pergilah turun dan saliblah ia.”

Namun, Hassan masih mengelak dan menjawab: “Tidak perlu lagi untuk saya menyalibnya wahai anak perempuan Abdul Muttalib.”

Keturunan Berusia Panjang

Hassan bin Thabit juga dikurniakan usia yang panjang. 

Diriwayatkan bahawa usianya mencecah 120 tahun

Ibn al-Athir mengatakan bahawa beliau meninggal dunia sebelum tahun ke-40H pada zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib

Ada pula yang berpendapat bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 50H dan 54H.

Berkenaan dengan usianya, telah disepakati bahawa usia beliau 60 tahun era Jahiliyah manakala 60 tahun era Islam. 

Apa yang menariknya, bukan beliau sahaja yang berusia panjang, malah bapanya, Thabit, datuknya, al-Mundzir dan moyangnya Haram juga begitu.

Mereka semua hidup sehingga 120 tahun. 

Hinggakan tiada seorang pun dalam kalangan bangsa Arab yang berasal daripada keturunan yang satu hidup sehingga usia tersebut melainkan mereka berempat!