, ,

Kaum Muslimin sudah memenangi Peperangan Uhud

Antara strategi pasukan Quraisy untuk memecah belah pasukan muslimin ialah Abu Sufyan mengirim surat kepada orang-orang Anshar.

Isi surat itu ialah: ”Biarlah urusan kami dengan anak pak paik kami (kaum Muhajirin saja), dan setelah itu kami akan pergi meninggalkan kamu. Kami tidak ada gunanya memerangi kamu.”  Namun, sudah pasti kaum Anshar menolaknya dan membalas dengan jawapan yang mereka tidak sukai.

Kemudian, kaum Quraisy menggunakan cara lain pula iaitu memanfaatkan pengkhianat dalam kalangan penduduk Madinah iaitu Abu Amir Ar-Rahib, tetapi cara itu juga tidak berjaya.

Perang Uhud dimulakan dengan perang tanding antara Ali bin Abu Thalib mewakili kaum muslimin dan Thalhah bin Usman mewakili kaum musyrikin.

Ali berjaya menewaskan Thalhah, memotong kakinya sehingga dia terjatuh ke tanah dan pakaiannya terbuka. Namun, Ali tidak membunuhnya apabila Thalhah merayu: “Wahai anak pak cikku, aku mohon kepadamu demi Allah dan hubungan silaturrahim.”

Lalu, kedua-dua pasukan bertembung dengan sengit. Malah, Rasulullah juga membangkitkan semangat jihad para sahabat.

Baginda mengambil pedang sambil berkata: “Siapa yang mahu mengambil pedang ini dari tanganku?” Mereka sama-sama menghulurkan tangan mereka dan berkata: “Saya… saya…” Baginda bertanya: “Siapa yang mahu memberikan haknya?” Mereka kemudian mundur. Simak bin Kharsyah Abu Dujanah bertanya: “Apa haknya wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Engkau tebaskan ke musuh hingga dia jatuh.”

Lalu, Abu Dujanah mengambil pedang itu, namun disebabkan dia berjalan dalam keadaan angkuh maka Baginda sempat menegurnya.

Peperangan Uhud yang berlaku menyaksikan pasukan muslimin memenangi peperangan ini pada awalnya.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)