, ,

Tidak Cukup Masa? Cuba Formula Ini

Sibuk. Tidak cukup masa. Ini antara alasan yang menjadi sandaran kita apabila membicarakan tentang kegagalan melaksanakan sesuatu urusan.

Malah, ia seolah-olah menjadi mantera penyelamat demi untuk mengelakkan diri daripada dipersalahkan.

Cuba kita berhenti sebentar dan melihat kepada jam yang ada berhampiran kita. Tertera jam di skrin telefon pintar atau komputer riba.

Lihat pula jam yang tergantung di dinding bilik atau yang terletak kemas di sisi meja.

Setiap jam ini mempunyai rupa bentuk dan teknologi yang berbeza, namun hakikatnya memiliki satu kesamaan, satu ketetapan iaitu masa yang berdetik, 60 saat bersamaan dengan 1 minit, 60 minit bersamaan dengan 1 jam, 24 jam bersamaan dengan 1 hari dan seterusnya yang melengkapkan jumlah minggu, bulan dan tahun.

Jadi, perkara pertama yang perlu kita sedar ialah masa itu adalah satu perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tidak dapat dikurangkan atau pun ditambah detiknya. Ia kekal begitu sehinggalah datang ketentuan yang lain atas kehendak Allah SWT jua.

Maka jelas di sini, hakikatnya ialah pengurusan masa itu berkisar tentang perubahan sikap kita terhadap masa, bukannya masa itu yang perlu diubah (yang sememangnya pasti tidak akan dapat diubah).

Sebelum bergerak lebih jauh lagi, adalah menjadi keutamaan juga kepada kita untuk melihat persoalan masa yang diungkapkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya: 

وَٱلۡعَصۡرِ. إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ. إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡر.ِ

Maksud: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah Al-‘Asr: 1-4)

Jelas melalui ayat ini akan keutamaan dan kepentingan masa di dalam kehidupan manusia sehingga Allah SWT bersumpah dengannya, serta pernyataan bahawa manusia itu berada di dalam kerugian dalam memanfaatkan masa kehidupan yang dipinjamkan oleh Allah SWT, kecuali golongan manusia yang mengisi masa kehidupan mereka dengan keimanan dan amal soleh, serta mengajak manusia lain ke arah kebenaran dan kesabaran.

Berbalik kepada persoalan, formula apakah yang boleh dicuba bagi mengatasi gejala ‘tidak cukup masa’ ini?

Lihat sebentar angka-angka ini. 5.40, 1.00, 4.22, 6.58 dan 8.10. Ya, ia adalah waktu masuk solat fardu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak pada ketika artikel ini ditulis.

Jadi, apa kaitannya dengan pengurusan masa?

Ramai dalam kalangan kita yang mungkin tidak sedar akan perkara ini. Sebenarnya inilah formula pengurusan masa kurniaan Ilahi yang nampaknya ringkas, akan tetapi kesannya cukup efektif di dalam menguruskan masa kehidupan kita.

Ia telah ditetapkan secara automatik di dalam kehidupan merangkumi waktu siang dan malam. Hanya menanti untuk dimanfaatkan oleh mereka yang memakluminya.

Terdapat satu hadith yang boleh dikaitkan dengan persoalan ini iaitu maksudnya: “Ditanya kepada Nabi SAW, apakah amalan yang terbaik? Maka dijawab oleh Nabi SAW: Solat di awal waktu.” (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud)

Formula pengurusan masa yang boleh dikeluarkan daripada hadith ini ialah solat di awal waktu atau lebih tepat lagi ialah kita mengurus masa kehidupan kita dengan didasarkan kepada waktu solat, bukannya waktu solat itu yang disusun atur mengikut rentak masa kehidupan kita.

Sebenarnya dengan mendirikan solat di awal waktu, kita telah meletakkan keutamaan terhadap hak Allah SWT mendahului segala urusan yang lain, maka sudah pasti akan ada kesan positif daripada tindakan ini iaitu dikurniakan oleh Allah SWT dengan keberkatan masa.

Dengan hadirnya keberkatan ini, kerja menjadi teratur, aturan hidup lebih berdisiplin dan banyak urusan dapat dilunaskan di dalam tempoh seharian 24 jam.

Mari kita telusuri serba ringkas masa kehidupan yang disusun atur di sekitar waktu solat.

  • Solat Subuh – Bangun di awal pagi dan terlebih dahulu mengambil ruang untuk mendirikan solat sunat Tahajud dan solat sunat Fajar. Memulakan apa sahaja urusan harian kita seusai solat subuh, tertakluk kepada tanggungjawab dan status pekerjaan masing-masing. Ingatlah akan doa Rasulullah SAW,

اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا

Maksud: Ya Allah! Berkatilah umat aku pada pagi hari.

  • Solat Zuhur – Masa yang panjang di antara solat Subuh sehingga Zuhur, dikurniakan oleh Allah SWT sebagai ruang untuk kita melaksanakan tanggungjawab mengikut status pekerjaan masing-masing. Bergerak memakmurkan bumi Allah SWT. Berhenti sebentar apabila tibanya waktu Zuhur untuk kita berehat, sejajar dengan sabdaan Nabi SAW yang bermaksud: Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat. (Hadith riwayat Ahmad)
  • Solat Asar – Peringatan daripada Allah SWT yang dirakamkan di al-Quran yang bermaksud: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardhu, khususnya solat wusta (solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk. (Surah al-Baqarah: 238). Waktu Asar adalah antara waktu solat yang kritikal jika dilihat kepada kesibukan urusan yang ada pada sebelah petang. Dirikan ia di awal waktu, kesibukan tersebut pasti akan dapat dikendalikan dengan baik.
  • Solat Maghrib – Termasuk di dalam waktu yang kritikal. Kewajaran pada waktu ini ialah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid atau surau yang berhampiran dengan kediaman kita. Menuntut ilmu juga adalah hak diri dan kewajipan yang perlu dilunaskan, sambil membuka ruang untuk kita bersosial bersama-sama dengan ahli jemaah yang turut hadir.
  • Solat Isyak – Manfaatkan waktu seusai solat Isyak untuk bersama-sama dengan keluarga. Maka lengkapkanlah urusan seharian kita melaksanakan tugasan demi tugasan, memenuhi hak untuk diri, keluarga dan masyarakat, dengan meletakkan keutamaannya terlebih dahulu melaksanakan hak Allah SWT. Masa untuk berehat sambil bermuhasabah, semoga esok yang bakal hadir lebih baik daripada hari ini.

Begitulah gambaran umum bagaimana formula solat di awal waktu ini dilaksanakan susun aturnya di dalam kehidupan seharian kita.

Bertuahnya kita sebagai seorang Islam yang telah disediakan oleh Allah SWT dengan pelbagai formula untuk kebaikan kehidupan hamba-hamba-Nya yang taat. Ya, ia sudah pun tersedia, hanya laksanakan sahaja!

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Zamir Hj. Omar. Seorang Ghost Writer. Latarbelakang pendidikan di dalam bidang Pengurusan Teknologi (UUM Sintok) dan Kejuruteraan Mekanikal (UiTM Shah Alam).

Pernah berkerjaya di sektor kerajaan dan swasta. Memerlukan perkhidmatan berkaitan penulisan? Boleh ditemui di alam maya melalui laman Facebook: Zamir Omar.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

4 points
Upvote Downvote

Total votes: 6

Upvotes: 5

Upvotes percentage: 83.333333%

Downvotes: 1

Downvotes percentage: 16.666667%