,

Islam Rahmatan lil ‘Alamin, Menjunjung Hak Asasi

Islam tidak sekadar menuntut umatnya memelihara habblumminallah (pertalian dengan Allah), tetapi turut menyeru kepada habblumminannas (pertalian sesama insan).

Lantaran itu, Islam adalah cara hidup yang mementingkan akar budi yang luhur agar umat peka dengan isu-isu kemanusiaan melanda.

Sama sekali dangkal dakwaan, kononnya Islam dengan keganasan berpisah tiada. Sedangkan Allah SWT tidak menyeru Islam ditegakkan dengan mata pedang. Jauh sekali dengan jalan paksaan dan kekerasan.

Allah SWT menegaskan,

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّۚ

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).” (Surah Al-Baqarah 2:256)

Apa yang pasti, Islam ditegakkan melalui misi dakwah secara bijaksana dan berhemah.

Titah perintah Allah SWT dalam pendekatan dakwah,

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah An-Nahl 16:125)

Malahan, Nabi SAW diutuskan sebagai rahmatalil ‘alamin (rahmat sekalian alam) yang menjunjung tinggi hak asasi manusia yang hakiki.

Telah dinyatakan dalam kitabullah,

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiya’: 107)

Nilai kemanusiaan hakiki

Pelbagai dalil meneguhkan Islam adalah cara hidup yang mementingkan nilai kemanusiaan yang unggul.

Nabi SAW ada memberi peringatan,

“Sesiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Baginda SAW turut menjelaskan hak sesama Muslim,

“Hak seorang Muslim terhadap sesama Muslim itu ada enam, iaitu:

  1. Jika kamu bertemu dengannya maka ucapkanlah salam,
  2. Jika ia mengundangmu maka penuhilah undangannya,
  3. Jika ia meminta nasihat kepadamu maka berilah ia nasihat,
  4. Jika ia bersin dan mengucapkan: ‘Alhamdulillah’ maka do’akanlah ia dengan Yarhamukallah (ertinya = mudah-mudahan Allah memberikan rahmat kepadamu),
  5. Jika ia sakit maka jenguklah dan
  6. Jika ia meninggal dunia maka iringilah jenazahnya”.

(Hadith Riwayat Imam Muslim)

Meskipun hadis di atas hanya menyentuh perihal hak sesama Muslim, ia turut boleh diterjemahkan betapa Islam prihatin hak sesama insan secara menyeluruh. Ataupun istilah popular masa kini adalah hak asasi manusia.

Malahan Islam turut menyeru umatnya membela hak anak-anak yatim, golongan fakir miskin dan sesiapa jua yang kesusahan melalui jalan sedekah dan bantu membantu meringankan beban.

Namun semestinya, hak asasi hakiki yang menurut neraca Allah SWT dan berlandaskan garis panduan maqasid as-syari’ah (matlamat syarak).

Iaitu bermatlamat, memelihara akal, nyawa, nasab/keturunan, harta benda dan menutup jalan mudarat serta bencana. Kerana hak asasi hakiki itu selari dengan fitrah insan dan jauh sekali hak asasi yang songsang.

Maka atas dasar itulah, umat Islam seharusnya bergelar jaguh dalam memperjuangkan hak asasi manusia yang melanda umat seperti isu Palestin, Syria, Rohingya, Uyghur dan sebagainya.

Sesungguhnya, nilai rahmatan lil ‘alamin itu mencakupi hak setiap insan tidak mengira anutan agama. Kerana Islam tidak meletakkan batu penghalang untuk membantu golongan bukan Islam dalam kesusahan.

Menerusi firman Allah SWT,

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahanah: 8)

Sekian,

Wallahua’lam.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Adli Abdullah yang merupakan seorang novelis OKU @TLiNGE. Antara karya beliau ialah Elektro Pengaman Sejagat (http://play.tlinge.com/audiobook/elektro-pengaman-sejagat/).

Ikuti perkembangan beliau di Facebook AdliPenulis, Facebook TLiNGEapp, Instagram AdliAbdullah.official, dan Twitter AdliAbdullah85.

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.

What do you think?

1 point
Upvote Downvote

Total votes: 1

Upvotes: 1

Upvotes percentage: 100.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%