,

Doa Penawar Kepada Kesedihan Dan Keperitan Hidup

Dunia yang penuh duka lara ini memerlukan penawar bagi ujian dan kesengsaraan. Kesedihan berpunca daripada keperitan yang dialami hasil daripada usikan tipu daya dunia yang sentiasa menguji manusia.

Bebanan kerja seringkali akan menyebabkan manusia seringkali mentadbir dunia tidak berkesudahan. Manakala bebanan hutang amat memeritkan, sehingga dada terasa sempit dan jiwa terasa kosong dan putus asa.

Dukacita kerana belum dikurniakan cahaya mata, jiwa bergelora bagaikan lautan yang ganas. Mulut mulut jahat masyarakat sekeliling yang suka menyindir pasangan yang tiada anak boleh menusuk jantung bagaikan dihiris sembilu.

Hidup ini memerlukan penawar. Penawar paling mujarab adalah berdoa. Merintihlah wahai insan. Merintihlah dan mengadulah kepada Tuhan Yang Paling Penyayang dalam kalangan yang penyayang.

Doa merupakan alat penghubung insan dengan TuhanNya. Ketika dihimpit kedukaan, tangan ditongkat ke langit dengan rasa sendu agar dapat mengecapi ketenangan.

Justeru, doa perlu disertai dengan jiwa yang penuh rasa rendah diri dan adab dengan TuhanNya:

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-‘Araf 7:55)

Sesungguhnya Allah hampir dengan hambaNya. Hamba yang menyerahkan jiwa raganya bergantung harap dengan TuhanNya, pasti akan dimustajabkan doanya dengan kasih sayang dan RahmatNya.

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah al-Baqarah 2:186)

Insan yang berdoa perlu memiliki jiwa yang tulus. Perlu membersihkan dosa-dosa dengan taubat nasuha dan istighfar.

Insan yang berdoa perlu memiliki perasaan bersangka baik dengan Allah. Sekiranya tidak diperkenankan doanya, terdapat hikmah yang mungkin lebih banyak manfaat terhadap diri kita.

Kemungkinan doa ini akan dimustajabkan dalam bentuk yang berbeza, ataupun disimpan di akhirat kelak.

“Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturrahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya.” (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih)

Janganlah sedih ketika mana doa kita tidak dimakbulkan. Aturan dan takdir dunia ini ada hikmahnya. Janganlah terlalu berdukacita andai doa dirasakan tidak mustajab.

Sesungguhnya doa itu adalah ibadah. Seorang hamba yang bangkit berdoa sebenarnya telah melaksanakan ibadah. Doa adalah ibadah, ianya tidak sia-sia walaupun dirasakan tidak dimustajabkan Allah!

“Doa itu adalah ibadah.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ

“Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu, anak kepada hamba perempuanMu, ubun-ubunku di tanganMu, terlaksana ke atasku hukumanMu dan adil kehakimanMu terhadapku, aku memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau namakan dengannya diriMu, atau Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhlukMu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib di sisiMu, jadikanlah Al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku.” (Hadis Riwayat Ahmad 1/391)

Doa di atas merupakan doa yang menjadi penawar kepada kesedihan. InsyaAllah, dengan mengamalkan doa ini dengan penuh perasaan, jiwa kita akan menjadi tenang semula.

 

Maklumat Penulis

Artikel ini ditulis oleh Muhd Ridhuan Bin Sulaiman. Berasal dari Shah Alam, Selangor. Kini, berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Ibu Pejabat JKR, Malaysia.

Adik kepada penulis ada menyediakan perkhidmatan “Private Martial Art Lesson” di Seksyen 19, Shah Alam. Sila hubungi adik penulis, Muhammad Ikram di talian 017-603 9997 untuk sebarang pertanyaan. Layari https://www.instagram.com/ikramtyson/

Berminat menulis artikel? Anda inginkan supaya hasil penulisan anda diterbitkan dalam website iluvislam? Klik sini.