Korang nak tahu kisah bagaimana Khadijah dan Rasulullah berkahwin? Saya kongsikan seperti yang ada di dalam kitab Rahiq Makhtum.
Tatkala Rasulullah kembali ke Mekah, Khadijah mendapati perniagaannya dijalankan oleh Baginda dengan penuh amanah dan keberkatan. Perkara itu belum pernah diperolehi sebelum ini. Pembantunya, Maisarah (lelaki) memberitahu, sepanjang menemani Nabi Muhammad, Baginda memiliki keperibadian yang menyenangkan. Baginda berperilaku mulia, berfikiran tajam, jujur dalam bertutur kata dan berniaga dengan cara yang penuh amanah.
Khadijah berasa bahawa dia telah menemui kembali barang hilang yang selama ini dia rindukan. Padahal, dia seorang wanita yang dikagumi sehingga para pembesar dan pemimpin berhasrat untuk menikahinya. Namun dia menolak. Dia menceritakan gejolak hatinya itu kepada teman karibnya, Nafisah binti Muniyah. Khadijah meminta bantuan daripada Nafisah untuk bertemu dengan Nabi Muhammad untuk meraih peluang untuk bernikah.
Keinginan Khadijah rupanya disambut baik oleh Rasulullah. Baginda segera menyampaikan hasrat itu kepada bapa-bapa saudara Baginda. Lalu, mereka pun pergi menemui bapa saudara Khadijah. Mereka meminangkan Khadijah untuk Rasulullah. Setelah semua persiapan dibuat, pernikahan pun dilaksanakan. Akad nikah mereka dihadiri oleh Bani Hasyim dan para pemimpin Mudhar.
Pernikahan itu berlangsung setelah dua bulan Rasulullah kembali dari Syam. Baginda memberi mahar kepada Khadijah berupa 20 ekor unta muda. Ketika itu, umur Khadijah telah mencapai 40 tahun. Khadijah ialah wanita pertama yang dinikahi oleh Rasulullah. Selama Khadijah masih hidup, Rasulullah tidak menikahi wanita lain.
Kalau korang hayati betul-betul kisah cinta Rasulullah dan Khadijah, korang akan sedar bahawa tak perlu pun nak bercinta sakan, nak couple, dating, atau buat perkara-perkara yang dimurkai Allah, dengan alasan untuk kahwin.
Ingat, niat tidak menghalalkan cara.
Sebab itulah, kisah cinta Rasulullah dan Khadijah adalah sebaik-baik teladan untuk kita ikuti dalam menelusuri alam rumahtangga.
Nak berkenalan dengan bakal pasangan hidup? Tak perlu pun nak couple, dating, calling, texting semua tu… bukan apa, kalau korang kenal seseorang tu secara direct, confirm orang tu hanya akan tunjuk perangai yang baik-baik saja, macam ‘lakonan’ pun ada sebab itu semua adalah first impression. Malangnya, korang takkan kenal pun perangai dia yang sebenar.
Jadi, macam mana Khadijah tahu perangai sebenar Rasulullah? Melalui pembantu lelakinya, Maisarah yang menceritakan pengalaman ketika bersama dengan Rasulullah, sebaik-baik manusia di atas muka bumi.
Nota kaki : Artikel ini ditulis oleh Aizuddin Hamid. Layari https://t.me/aizuddinhamiid untuk perkongsian bermanfaat.