Perang Ahzab memberi kesan mendalam pada kaum Muslimin di Madinah apabila pakatan yahudi, Quraisy dan Ghathafan bersatu untuk mengalahkan Islam.
Namun, dengan izin Allah, kaum Muslimin tetap memenangi peperangan tersebut.
Hospital tentera Islam pertama dibina adalah ketika berlakunya perang Ahzab. Namun, ia bukanlah seperti bangunan hospital yang ada pada zaman sekarang, tetapi ia hanyalah khemah yang didirikan bersebelahan Masjid Nabi.
Pengurus yang juga jururawat tentera pertama dalam Islam ialah seorang wanita dari Aslam bernama Rafidah. Dia ditugaskan untuk merawat tentera yang tidak mempunyai ahli keluarga kerana bagi yang berkeluarga akan dihantar kepada keluarganya untuk dirawat.
Secara tidak langsung, tentera yang tercedera dan tiada keluarga ini juga mendapat perhatian khusus daripada Rasulullah kerana bersebelahan dengan Masjid Nabi.
Namun, berbeza dengan Sa’ad bin Mu’adz iaitu antara pemimpin Muslimin dalam kalangan golongan Anshar. Sa’ad cedera terkena panah dalam perang Khandaq, dia mempunyai keluarga dan sepatutnya dirawat oleh keluarganya.
Tetapi, disebabkan Rasulullah ingin menenangkannya terus-menerus, maka Sa’ad diletakkan di khemah tersebut.
Sa’ad mendapat kehormatan atas tindakan baik dan pengorbanan yang dia lakukan di jalan Allah, sebab itu dia ditempatkan di khemah yang tidak mempunyai keluarga.
Begitulah balasan orang yang melakukan amal ikhlas kerana Allah sehingga wajar untuk mendapat perhatian khusus daripada Baginda.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)