,

Hindun binti ‘Utbah – Singa Wanita Quraisy

Siapa sangka, seorang wanita yang sebelum ini begitu kuat menunjukkan penentangannya terhadap Islam akhirnya memilih untuk memeluk Islam.

Siapa yang tidak kenal dengan sosok tubuh yang bernama Hindun. 

Ayah dan suaminya merupakan pembesar Quraisy yang disegani, ‘Utbah bin Rabi’ah ayahnya manakala Abu Sufyan bin Harb suaminya.

Beliau juga merupakan ibu kepada Mu’awiyyah, pengasas Kerajaan Bani Umaiyyah.  

Bagi yang menyoroti lembahan-lembahan sejarah awal Islam, nama beliau sudah pasti menjadi sebutan dek kerana kuatnya penentangan beliau kepada dakwah Rasulullah SAW ketika itu. 

Namun, apa yang pasti sebaik sahaja memeluk Islam beliau tidak lagi seperti dahulu.   

Keluarganya Bergelojak 

Hindun hidup di dalam keluarga yang pada awalnya sangat memusuhi Islam.

 Bapanya, ‘Utbah dan bapa saudaranya, Syaibah kedua-duanya memusuhi Islam.

Tatkala Rasulullah SAW mula berdakwah secara terang-terangan, rumahnya menjadi ‘panas’ apabila ahli-ahli keluarganya sibuk membincangkan tentang Baginda. 

Sedang asyik mereka sekeluarga membincangkan cara-cara untuk menyekat dakwah Baginda, tanpa disedari rupa-rupanya terdapat ahli keluarga mereka sendiri yang berpaling tadah.

Orang tersebut ialah Abu Huzaifah, saudara kandung Hindun. 

Abu Huzaifah berjaya menyembunyikan keislamannya sejak Nabi SAW berdakwah secara sembunyi di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. 

Bukan itu sahaja, isterinya, Sahlah binti Suhail dan hamba mereka berdua Salim juga turut memeluk Islam. 

Namun, apabila dakwah secara terang-terangan mula dijalankan, akhirnya rahsia mereka sekeluarga bocor.  

Hal ini bukan sahaja telah menyebabkan Hindun dan ahli keluarganya marah.

Keluarga di sebelah isteri Abu Huzaifah juga turut marah memandangkan beliau juga merupakan anak kepada seorang pemimpin Quraisy yang kuat menentang Islam, Suhail bin ‘Amru. 

Penyorak Tentera Mekah 

Imam Ibn al-Athir dalam Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah menyebutkan bahawa Hindun turut serta dalam Peperangan Uhud ketika beliau masih lagi belum memeluk Islam.

Ketika itu, beliau mengetuai para wanita Mekah turut sama mengikuti pasukan tentera mereka ke medan Uhud. 

Bukan itu sahaja, merea turut memukul gendang sambil melaung-laungkan kata-kata semangat. 

Sambil memukul gendang, Hindun melantunkan bait-bait syairnya: 

Kami anak-anak perempuan bintang! 

Kami berjalan di atas bantal-bantal! 

Jika kamu semua datang kami akan peluk atau jika kamu semua berpaling kita akan berpisah! 

Perpisahan yang tidak ditangisi!

Turut diketahui umum bahawa selain penentangannya kepada Nabi Muhammad SAW, terdapat satu perkara yang kejam beliau pernah lakukan iaitu membelah perut Sayidina Hamzah dan mengunyah hatinya! 

Puncanya adalah disebabkan oleh dendam beliau terhadap Hamzah yang telah membunuh ayahnya, ‘Utbah bin Rabi’ah di medan Badar. 

Cukuplah sejarah mencatatkan betapa sedihnya Rasulullah SAW tatkala mendapat berita kesyahidan bapa saudaranya itu.

Lebih menyedihkan lagi jenazahnnya diperlakukan dengan sedemikian rupa.  

Menerima Islam 

Walaupun begitu keras tentangan yang diberikan olehnya terhadap Rasulullah SAW dan umat Islam, takdir Allah, wanita yang bernama Hindun ini akhirnya memeluk Islam.

Beliau memeluk Islam pada hari Pembukaan Kota Mekah setelah suaminya, Abu Sufyan terlebih dahulu berbuat demikian.  

Tatkala Nabi Muhammad SAW mengambil bai’ah daripada kaum wanita, Baginda menyebutkan,

Kamu semua dilarang mencuri dan berzina.

Mendengar ucapan Baginda, Hindun bermonolog,

Adakah wanita yang merdeka berzina dan mencuri?

Manakala, tatkala Rasulullah berkata,

Kamu semua jangan membunuh anak-anak kamu.

Sekali lagi Hindun bertanya,

Kami telah memelihara mereka sewaktu kecil, adakan kami akan membunuh mereka apabila mereka sudah besar?

Beliau tidak berpuas hati kerana persoalan-persoalan tersebut masih bermain-main di fikirannya.

Namun, suatu ketika beliau terpaksa mengadukan masalah dirinya kepada Rasulullah SAW. Masalah tersebut melibatkan suaminya, Abu Sufyan.  

Hindun bertanya,

Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan itu seorang yang kedekut. Dia tidak memberikan makanan yang cukup kepada isteri dan anaknya.

Lalu, jawab Baginda,

Kamu ambillah sedikit daripada hartanya dengan cara yang baik bagi mencukupkan keperluan kamu dan anak kamu itu.

Hindun sebelum ini yang telah menyertai peperangan dengan penuh keberanian, maka keislaman beliau tidak menghalangnya berbuat perkara yang sama.

Tatkala tentera Islam telah digerakkan ke negeri Syam untuk menghadapi tentera Rom, beliau bersama suaminya, Abu Sufyan juga turut serta.

Bukan itu sahaja, anak lelakinya Mu’awiyyah juga turut serta yang kelak menempa nama sebagai khalifah pertama Bani Umaiyyah.  

 

Rujukan: Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Ibn al-Ahir. 

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%