, ,

Apa Kelebihan Dan Manfaat Daripada Peristiwa Fath (Pembukaan) Makkah?

1. Penduduk Makkah bergabung dengan tentera Islam

Kaum Quraisy yang selama ini menolak Islam, akhirnya terbuka hati untuk memeluk Islam secara beramai-ramai ketika penaklukan Makkah. Mereka bergabung dengan tentera Islam yang datang ke Makkah.

Secara tidak langsung ia melenyapkan kesyirikan yang telah dilakukan di Makkah apabila segala berhala dihancurkan, termasuklah kesyirikan di Hunain dan Thaif.

2. Kaum Muslimin menjadi kekuatan terbesar di jazirah Arab.

Harapan Rasulullah supaya kaum Quraisy memeluk Islam tercapai ketika penaklukan Makkah. Hasilnya, muncul kekuatan besar di jazirah Arab yang tidak mampu dihadapi oleh mana-mana kekuatan sekalipun.

Setelah tersebarnya Islam, pemerintahan zalim telah dilenyapkan kerana semuanya menyembah kepada Allah yang Maha Esa.

3. Penaklukan Makkah memiliki pengaruh besar daripada segi agama, politik dan sosial.

Pengaruh agama berlaku apabila Makkah berada di bawah pemerintahan Islam serta meyakinkan semua pihak bahawa Islam adalah agama yang diredhai Allah.

Pengaruh politik berlaku apabila Attab bin Usaid dilantik Rasulullah untuk menjadi pemimpin Makkah serta memerintah berdasarkan syariat Islam berpandukan kitab Allah, termasuklah menolong kaum lemah dan teraniaya.

Pengaruh sosial berlaku apabila wujudnya kasih sayang Rasulullah terhadap sesama insan. Baginda tidak meninggalkan orang Islam Makkah begitu sahaja, tetapi menghantar Mu’adz bin Jabal untuk tetap berada di Makkah walaupun setelah Baginda pulang ke Madinah supaya Mu’adz dapat mengajarkan ilmu agama kepada mereka.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)