Sebenarnya, ramai tidak tahu bahawa ada dua nikmat yang Allah berikan kepada kaum muslimin sebelum mereka menghadapi peperangan badar.
Nak tahu? Jom baca ayat di dalam Al-Quran:
“(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).” (Surah Al-Anfaal 8:11)
Jadi, nikmat tersebut adalah:
- Tidur
Imam Al-Qurthubi berpandangan bahawa: “Perasaan mengantuk tersebut terjadi pada malam sebelum berperang. Mereka boleh tidur dengan tenang padahal mereka akan menghadapi perkara yang sangat besar. Itu merupakan suatu hal yang menkjubkan, sekan-akan Allah menguatkan mereka.
Ada dua hikmah apabila Allah memberikan nikmat tidur kepada mereka, iaitu:
- Memberikan kekuatan kepada mereka supaya bersedia untuk menghadapi peperangan.
- Memberikan rasa aman kepada mereka dengan cara menghilangkan rasa takut dalam hati mereka.
- Hujan
Apabila diturunkan hujan, ia sebagai suatu kemuliaan daripada Allah kepada orang-orang mukmin apatah lagi hujan turun pada waktu yang tidak biasa turunnya hujan.
Dalam masa yang sama, di kawasan Badar itu dipenuhi pasir, jadi apabila hujan maka pasir tersebut menjadi padat sehingga memudahkan kaum muslimin untuk melalui kawasan itu.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)