Rasulullah telah mengumpul banyak maklumat tentang kekuatan kafir Quraisy, lalu kaum muslimin bergegas menuju ke Badar supaya mereka dapat mendahului kafir Quraisy dan menguasai kawasan air.
Ketika sampai di suatu kawasan air, Rasulullah meminta untuk berhenti di situ. Namun, seorang sahabat iaitu al-Hubab bin Al-Mundzir bertanya sama ada perhentian itu atas perintah Allah ataupun hanya sekadar pendapat, siasat dan strategi Baginda. Lalu, Rasulullah mengatakan bahawa itu hanyalah pandangannya.
Tanpa membuang masa, Al-Hubab berkata: “Wahai Rasulullah, menurut pendapatku ini bukanlah tempat berhenti yang tepat. Bangkitlah wahai Rasulullah bersama kaum muslimin hingga kita sampai ke tempat yang lebih dekat dengan mata air daripada pasukan kaum musyrikin Quraisy, kemudian kita berhenti di sana kemudian menghancurkan sumur-sumur yang ada, dan kita membuat telaga, kemudian telaga tersebut kita isi dengan air, kemudian baru kita perangi mereka. Kita boleh minum, sedangkan mereka tidak akan mendapatkan minuman.”
Lalu, Rasulullah bersetuju dengan pandangan Al-Hubab, secara tidak langsung menggambarkan sikap Baginda yang terbuka dalam menerima pandangan, malah para sahabat juga tidak berasa khuatir untuk memberikan pandangan.
Hal ini adalah kerana kebiasaannya, jika orang bawahan memberi pandangan kepada orang atasan, pasti orang bawahan itu akan dimarah atau diberi hukuman, tetapi berbeza dengan sikap yang ada pada diri Rasulullah.
Sebagai pengajaran dalam kehidupan kita sekarang, belajar untuk menerima pandangan orang lain walaupun mungkin pandangan itu berbeza daripada pandangan kita. Apa yang lebih penting adalah outcome ataupun apa yang terhasil itu lebih baik.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)