, ,

Uthman Bin Affan – Dipaksa Melepaskan Jawatan

‘Uthman bin ‘Affan. Nama yang tidak asing lagi bagi kita. 

Seorang sahabat Nabi SAW yang terkenal dengan sifat dermawan dan lemah lembutnya.

Seorang yang hartawan bahkan juga mendapat kemuliaan dengan menjadi menantu Baginda.

Beliau berkahwin bukan dengan seorang puteri Rasulullah bahkan dua orang iaitu Ruqayyah dan Umm Kalthum.

Walaupun lebih dikenali sebagai salah seorang daripada keluarga Bani Umaiyyah, namun sebenarnya ‘Uthman bin ‘Affan juga memiliki pertalian secara tidak langsung dengan Baginda SAW. 

Nasab mereka berdua bertemu pada Abdul Manaf. 

Manakala ibunya pula bernama Arwa binti Kariz yang mana ibunya pula bernama al-Baidha’ binti Abdul Muttalib yang merupakan ibu saudara Rasulullah SAW.

Mendapat Kemuliaan Berganda

‘Uthman bin ‘Affan merupakan seorang sahabat Nabi SAW yang sangat bertuah. 

Beliau bukan sahaja antara yang terawal memeluk Islam, tetapi turut menjadi sebahagian daripada ahli keluarga Baginda. 

Pengislaman beliau cukup mudah di tangan sahabat baiknya, Abu Bakar al-Siddiq.

Tatkala ‘Uthman telah memeluk Islam, Rasulullah SAW bertindak mengahwinkan beliau dengan puterinya Ruqayyah. 

Mereka berdua bersama-sama berhijrah ke Habsyah sebanyak dua kali dan kemudian pulang ke Mekah. 

Apabila hijrah ke Madinah telah disyariatkan, mereka berdua turut sama berhijrah dan kemudian singgah ke rumah ‘Aus bin Thabit. 

Beliau merupakan saudara kepada Hassan bin Thabit.

Tatkala tercetusnya Peperangan Badar al-Kubra, ‘Uthman tidak dapat turut serta. 

Puncanya, isteri kesayangannya Ruqayyah sedang sakit ketika itu. 

Tambahan pula, Rasulullah SAW sendiri yang menyuruh beliau untuk tinggal di rumah menjaga isterinya.

Namun, tatkala berita kemenangan tentera Islam sampai, Ruqayyah sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Mengetahui kesedihan yang dialaminya, Rasulullah SAW sekali lagi mengahwinkan beliau dengan anak perempuannya yang lain bernama Ummu Kalthum. 

Namun, tatkala Umm Kalthum meninggal pula, Rasulullah SAW berkata kepada ‘Uthman: 

“Sekiranya kami memiliki anak perempuan yang ketiga, nescaya kami akan kahwinkan dia dengan engkau!”

Dijanjikan Syurga Buatnya

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ‘Uthman bin ‘Affan merupakan salah seorang sahabat yang dijanjikan syurga oleh Baginda SAW.

Terdapat satu kisah yang menarik dinukilkan oleh Ibn al-Athir di dalam kitabnya Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah.

Abu Musa al-Asy’ari menceritakan: “Suatu ketika aku berada bersama Rasulullah SAW di satu kebun miliki Bani Si Fulan. 

Ketika itu pintu di tempat tersebut sedang tertutup. Apabila ada orang datang mengetuk pintu, Nabi SAW berkata kepadaku: 

Aku kemudian membukakan pintu dan rupanya Abu Bakar al-Siddiq. Lalu aku pun memberitahu apa yang dipesan oleh Baginda. 

Mendengar hal itu, Abu Bakar pun mengucapkan syukur. Beliau masuk, memberi salam dan kemudiannya duduk bersama kami. 

Kemudian aku pun menutup semula pintu.

Tidak lama selepas itu, ada lagi orang yang mengetuk pintu. Lalu Baginda berkata kepadaku: ‘Wahai Abdullah bin Qays, bangun dan bukakanlah pintu. Khabarkan kepada orang itu bahawa dia dijanjikan syurga.’

Aku kemudian membukakan pintu dan rupanya ‘Umar bin al-Khattab. Lalu aku pun memberitahu apa yang dipesan oleh Baginda. 

Mendengar hal itu, ‘Umar pun mengucapkan syukur. Beliau masuk, memberi salam dan kemudiannya duduk bersama kami. 

Kemudian aku pun menutup semula pintu.

Setelah itu, pintu diketuk kali ketiga. Baginda SAW berkata kepadaku: ‘Wahai Abdullah bin Qays, bangun dan bukakanlah pintu.

Khabarkan kepada orang itu bahawa dia dijanjikan syurga.’ 

Aku kemudian membukakan pintu dan rupanya ‘Uthman bin ‘Affan. 

Lalu aku pun memberitahu apa yang dipesan oleh Baginda.

Mendengar hal itu, ‘Uthman berkata: ‘Allah jualah sebaik-baik tempat untuk meminta pertolongan dan kepada-Nya jualah kita bertawakkal.’ 

Beliau masuk, memberi salam dan kemudiannya duduk bersama kami.

Jangan Menanggalkannya!

Seperti mana yang telah ditakdirkan, ‘Uthman bin ‘Affan syahid akibat daripada dibunuh oleh para pemberontak yang meminta beliau melepaskan jawatan khalifah yang disandangnya ketika itu

Beliau enggan berbuat demikian walaupun telah didesak kerana berpegang dengan pesan Nabi SAW kepadanya.

Pesan tersebut diceritakan oleh Ummul Mukminin Aisyah, Rasulullah SAW bersabda kepada ‘Uthman: 

“Wahai ‘Uthman, sesungguhnya kelak Allah akan memakaikan engkau dengan suatu pakaian. 

Sekiranya mereka menyuruh engkau untuk menanggalkan pakaian tersebut, maka janganlah engkau menanggalkannya untuk diberikan kepada mereka.”

Akhirnya, rumah Sang Khalifah dikepung seketat-ketatnya. 

Mereka yang mengepung itu merupakan para pemberotak dari Mesir, Basrah, Kufah dan sebahagian penduduk Madinah sendiri. 

Disebabkan mereka bimbang tentera yang akan tiba dari Syam dan Basrah diikuti pula dengan para jemaah haji yang akan datang. 

Mereka bertindak menceroboh rumah khalifah dan membunuhnya.