, ,

Cadangan Salman Al-Farisi Dalam Perang Ahzab Mengejutkan Kaum Muslimin!

Kaum Muslimin telah mengetahui pakatan yang dilakukan antara yahudi bani Nadhir, Quraisy dan Ghathafan untuk menyerang umat Islam di Madinah.

Lalu, Rasulullah segera melakukan pertemuan darurat bersama pembesar pemimpin kaum Muslimin dalam kalangan Muhajirin dan Ansar.

Pada ketika itu, Salman Al-Farisi memberikan pandangan: “Wahai Rasulullah, di Persia (Parsi) ketika kami diserang pasukan berkuda, kami membuat parit, kerana itu apa kiranya Rasulullah mahu membuat parit?”

Semua bersetuju dengan cadangan Salman, kemudian Rasulullah sendiri bersama beberapa orang sahabat pergi untuk menentukan titik-titik penggalian parit.

Perancangan untuk membuat parit merupakan suatu perkembangan dan kemajuan dalam peperangan kerana ia tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab sebelum ini.

Diriwayatkan daripada Abu Ishak, dia berkata, “Aku mendengar al-Barra’ bercerita: “Ketika terjadi perang Ahzab, Rasulullah menggali parit. Aku melihat sendiri beliau memindahkan tanah parit hingga tanah menutupi kulit perut beliau yang banyak bulunya.”

Rasulullah menjadi teladan kepada kaum Muslimin apabila Baginda sendiri turut serta dalam penggalian parit. Malah, Baginda juga sanggup menahan lapar sama seperti sahabat lain, walaupun Baginda sendiri sebenarnya seorang pemimpin. Mana tidaknya, Rasulullah sanggup mengikat batu di perutnya yang mulia kerana sangat lapar.

Baginda mengangkat semangat para sahabat dan membuat mereka gembira kerana penggalian parit itu sudah sememangnya susah dan banyak cabaran yang perlu dihadapi.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, daripada Nabi Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bahawa beliau bersabda pada perang Khandaq (Ahzab): “Ya Allah, tidak ada kehidupan kecuali kehidupan akhirat, maka ampunilah dosa kaum Ansar dan Muhajirin.” (Hadith riwayat Muslim)

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)