Apabila disebut tentang amalan keagamaan, sudah pasti apa yang terlintas di fikiran adalah perbuatan-perbuatan yang bersifat kerohanian sahaja.
Namun, tanpa kita sedari dalam melaksanakan ibadat, kita sebenarnya sedang melatih diri kita untuk berdisiplin dan beradab.
Contohnya dalam ibadah solat.
Ya, tiada siapa yang menafikan kewajipan ibadah yang penting ini.
Walaubagaimanapun, sekiranya tiada roh dalam pelaksanaannya, maka sepertinya ia tidak memberikan apa-apa.
Bukankah Islam merupakan al-Din atau cara hidup?
Maka, bila sebut tentang cara hidup, adakah Islam mengajar penganutnya untuk hidup dalam keadaan cacamarba?
Menjaga Waktu Solat
Allah SWT telah berfirman: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
-QS Al-Nisa’ 4:103
Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis Nabi SAW apabila ditanya oleh Ibn Mas’ud berkenaan amalan yang paling disukai oleh Allah, Baginda menjawab:
“Mendirikan solat pada awal waktunya.” (Riwayat al-Bukhari)
Justeru, dari segi ibadah memang kita tidak boleh mempersoal mengapa ditetapkan waktu sedemikian rupa.
Begitu jugalah dengan rutin harian kita. Kita tidak pula tanyakan mengapa perlu tiba di pejabat sebelum jam 9 pagi?
Mengapa tidak kita persoalkan waktu pulang ke rumah pada jam 6 petang?
Ya, tanpa kita sedari kita sebenarnya sedang melatih diri kita untuk menjadi berdisiplin.
Walaupun solat masih tetap boleh didirikan pada bila-bila masa sepanjang tempoh waktunya.
Namun, sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW, mendirikan solat adalah amalan yang paling disukai oleh Allah SWT. Bukankah ia istimewa?
Sebagaimana kita masih akan tetap mendapat gaji walaupun hadir lewat ke pejabat, namun bukankah tabiat sebegitu akan menyebabkan majikan mula tidak menyukai kita?
Begitulah analoginya jika dibandingkan dengan solat.
Ajaran Islam sangat mementingkan adab. Lebih-lebih lagi dalam soal penjagaan aurat.
Kita biasa mendengar soal penjagaan aurat yang melibatkan anggota badan.
Namun, tahukah kita ada aurat lain yang perlu kita pelihara? Iaitu aurat yang melibatkan waktu.
Secara tidak langsung, hal ini menunjukkan bahawa Islam sangat mementingkan soal penjagaan maruah diri.
Baik melalui penjagaan yang berbentuk pemakaian bahkan juga melalui penjagaan yang berbentuk masa-masa yang sesuai dalam pergaulan sesama ahli keluarga.
Awas Waktu-waktu Ini!
Dalam Surah al-Nur, Allah SWT telah mengajar kita adab pergaulan antara ahli keluarga yang melibatkan yang muda dan yang tua.
Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu)
Dalam tiga masa: sebelum solat subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah solat Isyak.
Itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).
-QS Al-Nur 24: 58
Memandangkan sistem perhambaan kini sudah tidak wujud lagi, maka ayat ini masih lagi terpakai kepada ahli keluarga yang memiliki hubungan kekeluargaan dengan kita.
Allah mengingatkan kita supaya meminta izin terlebih dahulu sebelum menemui ahli keluarga yang lebih tua seperti ibu bapa pada tiga waktu ini.
Sebelum solat Subuh, Sebelum solat Zohor, Selepas solat Isyak
Solat Dijadikan Panduan
Ya, dalam hal ini solat dijadikan penentu kepada waktu-waktu yang seseorang anak itu meminta izin daripada kedua ibu bapanya sebelum menemui mereka.
Mengapa solat? Kerana kebiasaannya apabila seseorang itu mendirikan solat, pasti dirinya telah benar-benar sedar dan tidak timbul isu aurat lagi.
Sudah menjadi lumrah, pada waktu-waktu ini kebiasaannya aurat kita akan terdedah.
Apatah lagi jikalau ketika itu kita sedang tidur. Lalu, Allah mengajar kita untuk menutupnya dengan cara mengajar anak-anak kita untuk meminta izin terlebih dahulu sebelum menemui kita pada waktu ini.
Walaubagaimanapun, pada waktu lain tidak menjadi masalah.
Apakah sebabnya? Imam Ibn Kathir dalam menjelaskan ayat ini mengatakan:
“Allah SWT memerintahkan orang-orang beriman supaya para hamba dan anak-anak mereka yang belum baligh untuk meminta izin terlebih dahulu dalam tiga keadaan.
Pertama, sebelum solat Subuh kerana manusia ketika itu masih lagi tidur.
Kedua, ketika waktu qailulah kerana waktu itu kebiasaannya orang akan menanggalkan pakaiannya.
Ketiga, selepas solat Isyak kerana itu merupakan waktu tidur.
Rujukan:
Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Nisa’ 4:103
Al-Qur'anul Karim, Surah al-Nur 24: 58