,

Misi Kaum Quraisy Menyekat Kaum Muslimin Memasuki Makkah.

Kaum Quraisy mengutus Hulas bin Alqamah iaitu pemimpin kabilah Ahbasy untuk bertemu dengan rombongan Rasulullah yang dalam usaha untuk memasuki Makkah pada tahun 6 hijrah untuk menunaikan umrah. Hal ini adalah kerana kaum Quraisy menghalang kaum Muslimin daripada memasuki Makkah.

Ketika Rasulullah melihat Hulas bin Alqamah, Baginda menyatakan: “Dia berasal dari kaum yang beragama, kerana itu lepaskan haiwan korban ke arahnya agar dia tahu.” Malah, Baginda memerintahkan para sahabat untuk menguatkan suara talbiah.

Hulas melihat haiwan-haiwan korban yang turun dari lembah dengan memakai kalung sebagai tanda haiwan korban. Lalu, Hulas kembali menemui kaum Quraisy walaupun dia tidak bertemu secara berhadapan pun dengan Rasulullah.

Berdasarkan pemerhatian dia terhadap haiwan korban itu, jelaslah bahawa kaum Quraisy menzalimi kaum Muslimin kerana menyekat daripada memasuki Makkah.

Malah, di kawasan lembah di mana kaum Muslimin menunggu itu, lembah itu lembah tandus, tiada air mahupun rumput, bahkan haiwan korban memakan bulu-bulu sendiri kerana terlalu lama ditahan di sana.

Bukan itu saja, Hulas memerhatikan bahawa kaum Muslimin sendiri membaca talbiah, memakai ihram dalam rambut kusut masai kerana lamanya berihram, secara tidak langsung tahu bahawa tujuan kaum Muslimin bukanlah untuk berperang tetapi untuk beribadah di Makkah.

Ketika Hulas memberi penjelasan kepada kaum Quraisy, mereka tetap tidak mahu menerima penjelasan itu, walaupun sudah tahu bahawa kebenaran dan keadilan berada di pihak kaum Muslimin.

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)