,

Demi Menunaikan Nazar

Sebagaimana kita ketahui, apabila disebut tentang nazar sudah tentu kita faham bahawa ia merupakan suatu yang wajib ditunaikan.

Kadang kala nazar itu dilafazkan disebabkan oleh seseorang itu benar-benar berkeinginan kepada sesuatu.

Boleh jadi, sudah pelbagai ikhtiar yang telah dilakukan, baginya nazar itu sebagai cara terakhirnya.

Akhirnya dia pun bertekad untuk bernazar. Apakah itu nazar?

Dalam Islam nazar diertikan sebagai mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.

Demi Telaga Zam Zam

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam kitabnya berjudul Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib ada menceritakan tentang kisah datuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu Abdul Muttalib.

Nazar beliau ialah: “Sekiranya Allah SWT memudahkan aku untuk menggali telaga Zam Zam ini dan Allah kurniakan aku 10 orang anak lelaki untuk membantuku, nescaya aku akan akan pilih salah seorang daripada mereka itu untuk dikorbankan.”

Mengapa Abdul Muttalib ingin menggali telaga Zam Zam? Bukankah mata airnya sudah terpancar sejak zaman Nabi Ibrahim dan Ismail AS?

Jawapannya adalah kerana suatu ketika dahulu, kota Mekah didiami oleh suatu kabilah yang bernama Jurhum.

Namun, apabila kabilah itu dihalau keluar, seseorang yang bernama ‘Amru bin al-Harith al-Jurhumi telah bertindak menanam segala harta bendanya yang berharga di dalam telaga itu.

Kemudian beliau lari ke Yaman.

Maka, sejak itu lokasi telaga Zam Zam sudah tidak diketahui lebih kurang 500 tahun lamanya. Hinggalah kota Mekah didiami oleh kaum Quraisy.

Ketika itu, Allah SWT telah mengilhamkan Abdul Muttalib tanda-tanda letaknya lokasi telaga itu di dalam mimpinya berkali-kali. Sebagaimana yang kita ketahui, beliau merupakan salah seorang pembesar Quraisy.

Penggalian Bermula

Tanpa membuang masa, Abdul Muttalib bersama anak seorang anak lelakinya iaitu al-Harith pun memulakan penggalian selama tiga hari.

Al-Harith pula ialah satu-satunya anak lelaki yang dimiliki oleh beliau.

Penggalian ini tidak mudah. Beberapa orang pembesar Quraisy rupanya tidak bersetuju dengan tindakan Abdul Muttalib itu.

Mereka bertindak menegah dan menghalang usaha penggalian itu. 

Tekanan demi tekanan yang diterima ini akhirnya telah menyebabkan beliau melafazkan nazarnya.

Selepas itu, penggalian diteruskan sehinggalah akhirnya telaga Zam Zam yang tertimbus itu dapat ditemui juga.

Disebabkan terlalu gembira, Abdul Muttalib terus melafazkan takbir berkali-kali.

Beliau mendapati di dalam timbuan tersebut terdapat dua buah patung kijang emas dan beberapa bilah pedang dan baju rantai. Inilah harta yang ditanam oleh ‘Amru bin al-Harith itu.

Kesemua pedang yang ditemui itu kemudiannya dicairkan semula dan dijadikan pintu Ka’bah. 

 Manakala dua buah patung kijang emas itu digantung di pintu tersebut sehinggalah kedua-duanya hilang dicuri orang.

Saat Melaksanakan Nazar

Telaga Zam Zam telah pun ditemui. Dengan takdir Allah SWT juga, Abdul Muttalib telah dikurniakan seramai 10 orang anak lelaki.

Lalu, beliau pun memanggil kesemua anak lelakinya itu dan memberitahu mereka anak nazar yang pernah dilafazkan sebelum ini.

Tanpa membantah, kesemua anaknya itu akur dan bersedia untuk dikorbankan.

Bagi melaksanakan nazar tersebut, undian pun dilakukan. Mereka semua dikehendaki masuk ke dalam Ka’bah dan mencabut undi masing-masing.

Ketika itu, masing-masing berdoa agar undian tidak jatuh kepada diri mereka. Akhirnya, ditakdirkan undian jatuh kepada seorang anaknya yang bernama Abdullah.

Namun, beberapa orang Quraisy menghalang beliau untuk menyembelih Abdullah.

Akhirnya, mereka semua bersepakat untuk bertanya kepada seorang wanita tukang tilik di Khaibar. Lalu Abdul Muttalib pun menceritakan perihal nazarnya itu

Akhirnya wanita itu berkata: “Kamu korbankan 10 ekor unta dan lakukan undi sekali lagi antara Abdullah dan unta. Sekiranya undian jatuh kepada Abdullah, tambah 10 ekor unta lagi. Kemudian undi sekali lagi dan demikianlah sehingga Tuhanmu reda.”

Abdullah Selamat

Abdul Muttalib pula laksanakan seperti mana yang disuruh itu. Maka, undian pun dilakukan. 

Namun, undian tetap jatuh pada nama Abdullah sehinggalah akhirnya apabila cukup 100 ekor unta yang perlu dikorbankan, barulah undian jauh pada nama unta

Maka, tahulah beliau bahawa itu bermakna Tuhannya sudahpun reda. Abdullah akhirnya selamat daripada dikorbankan.

Disebabkan itulah bapa nabi kita ini digelar sebagai al-Zabih yang bermaksud yang disembelih.

Sebagai ganti, 100 ekor unta pun dikorbankan oleh Abdul Muttalib sebagai ganti untuk menunaikan nazarnya itu.

Rujukan:

Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.