,

Bukan Lelaki Biasa-biasa

Nabi Muhammad SAW merupakan sebaik-baik dan seelok-elok manusia.       

Sudah tentulah itu merupakan ciri-ciri yang setaraf dengan kedudukan Baginda sebagai seorang nabi dan rasul terakhir. 

Disebabkan itu, para ulama Islam seperti Imam al-Tirmidzi telah mengarang sebuah kitab yang khusus bagi membicarakan perihal kesempurnaan Nabi SAW.

Ia berjudul Al-Syamail Al-Muhammadiyyah.

Walaubagaimanapun, tidak ramai yang mengetahui kisah tentang ayahanda Baginda SAW, Abdullah.

Masakan tidak, belum sempat lagi dilahirkan ke dunia, Baginda telah kehilangan ayahandanya dan lahir ke dunia sebagai seorang yatim.

 Rupa-rupanya, sosok yang bernama Abdullah ini bukanlah juga lelaki yang biasa-biasa.

Pinangan Pertama

Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dalam kitabnya berjudul Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib ada menceritakan tentang kisah Saidina Abdullah ini ketika masih muda.

Beliau bukan sahaja terkenal disebabkan oleh dirinya yang merupakan anak pemimpin Quraisy, bahkan juga terkenal dengan mukanya yang tampan.

Apa yang menarik lagi adalah beliau juga pernah dipinang oleh seorang wanita! Wanita tersebut bernama Fatimah Khath’amiyyah yang juga merupakan seorang wanita yang cantik dan baik.

Boleh kata, kedua-dua orang ini, Abdullah dan Fatimah sama-sama pemuda yang baik.

Peminangan Fatimah itu bukanlah dilakukan secara semberono. Beliau seorang yang rajin membaca.

Berdasarkan kitab-kitab yang telah dibaca sebelum ini, beliau mendapati bahawa trdapat tanda-tanda kenabian pada muka Abdullah. 

Tanpa membuang masa, Fatimah terus meminang Abdullah bersama 100 ekor unta sebagai pemberiannya.

 Malangnya, Abdullah terpaksa menolak. Puncanya beliau hanya boleh membuat keputusan apabila mendapat kebenaran daripada ayahnya Abdul Muttalib sahaja.

Ketentuan Takdir

Tidak lama selepas itu, Saidina Abdullah akhirnya ditakdirkan untuk menjadi suami kepada seorang wanita yang juga baik dan berasal dari keturunan yang baik juga iaitu Saidatina Aminah. 

Barang kali kita juga tidak pernah mendengar bagaimanakah mereka berdua boleh disatukan?

Apakah yang menyebabkan Abdul Muttalib mengizinkan anaknya Abdullah untuk berkahwin dengan Aminah?

Menjawab persoalan ini, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani menyatakan bahawa semua itu terjadi ketika Saidina Abdullah pergi memburu dan ketika itulah beliau bertemu dengan bapa Aminah iaitu Wahab.

Kisahnya bermula apabila ketika sedang berburu, tiba-tiba Abdullah diserang hendap oleh golongan pendeta Yahudi dari negeri Syam yang membawa pedang-pedang mereka. 

Mereka menangkap Abdullah dan mengungut untuk membunuhnya.

Kebetulan Wahab yang juga berada di situ terserempak dengan kejadian tersebut.   

Tanpa membuang masa, beliau terus meluru ke arah Abdullah untuk membantunya.

Namun, belum sempat melakukan apa-apa, Wahab dikejutkan dengan kemunculan beberapa orang lelaki yang menunggang kuda dengan pantas menerjah kumpulan Yahudi itu.

Disebabkan ketakutan, mereka terus melarikan diri dan meninggalkan Abdullah.

Dipinang Sekali Lagi

Wahab yang berasa takjub dengan kejadian yang dilihatnya itu sebaik pulang ke rumah terus menyuruh isterinya untuk menemui Abdul Muttalib dengan tujuan untuk meminang Abdullah untuk anak perempuannya, Aminah.

 Kali ini, pinangan tersebut diterima oleh Abdul Muttalib.

Tambahan pula, Aminah bukan sahaja memiliki rupa paras yang cantik, tingkah laku dan nasab keturunannya juga baik. 

Syeikh Ahmad al-Fathani berkata: “Lalu dikahwinkanlah akan dia (Abdullah) dengannya (Aminah). 

Dan adalah umur Saidina Abdullah pada ketika itu dua puluh lima tahun.”

Bukan itu sahaja, diriwayatkan juga bahawa disebabkan oleh perkahwinan Abdullah itu

Beberapa orang wanita Quraisy ada yang jatuh sakit dan meninggal dunia disebabkan kecewa dirinya tidak terpilih untuk menjadi isteri beliau.

 Walhal, mereka sangat menyukai dan meminatinya.

Rujukan:

Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Thawaqib : Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.