Sejak peristiwa hijrah ke Habasyah oleh umat Islam, ia sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada Raja Najasyi mengenai kebenaran.Ya, kebenaran yang sebenar.
Namun, ramai juga yang bertanya, benarkah Raja Najasyi memeluk agama Islam setelah itu, sedangkan dia berpegang kuat dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa.
Jawapannya, ya!
Raja Najasyi telah memeluk agama Islam dan membenarkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam.
Namun, Raja Najasyi memilih untuk merahsiakan keimanan daripada kaumnya kerana pada ketika itu dia mengetahui bahawa kaumnya masih enggan meninggalkan kebatilan, kesesatan dan keyakinan yang salah.
Kalau begitu, apa bukti bahawa Raja Najasyi telah memeluk Islam?
Jom kita baca hadith yang pertama.
Daripada Abu Hurairah r.a., dia berkata: “Sesungguhnya Rasulullah mengumumkan berita kematian Najasyi pada hari kematiannya. Beliau mengajak para sahabat keluar ke tempat solat, mengatur saf mereka dan menyembahyangkannya dengan empat kali takbir.” (Hadith riwayat Bukhari)
Dalam hadith yang seterusnya,
Daripada Jabir, dia berkata, Nabi Sollallaahu ‘Alaihi Wasallam bersabda tatkala Najasyi meninggal dunia: “Telah meninggal dunia hari ini, seorang lelaki soleh, maka berdirilah kamu, kemudian solatlah untuk saudara kamu itu.” (Hadith riwayat Bukhari)
Raja Najasyi meninggal dunia pada tahun kesembilan menurut pandangan kebanyakan ahli sejarah, namun ada juga yang berpandangan pada tahun kelapan iaitu sebelum peristiwa Penaklukan Makkah.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)