Perancangan Abdullah bin Abu Rabi’ah dan Amr bin Al-Ash yang mewakili kaum quraisy untuk mengambil semula kaum muslimin di Habsyah itu gagal. Namun, mereka tidak berputus asa!
Mereka ketemu semula Raja Najasyi dan memberitahu bahawa umat Islam menganggap Isa sebagai seorang hamba. Lalu, Raja Najasyi memanggil semula umat Islam dan bertanya mengenai pendapat mereka tentang Isa bin Maryam.
Lalu, Ja’far bin Abu Thalib yang mewakili umat Islam mengatakan seperti apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad iaitu Isa adalah hamba Allah dan juga rasul kepada Allah, Isa adalah ruh dan kalimat-Nya yang disampaikan kepada Maryam, seorang wanita suci.
Raja Najasyi berasa takjub dengan jawapan itu sehingga memukul tangannya ke tanah, malah mengatakan bahawa penjelasan itu sangat tepat. Namun, para pendeta cuba menunjukkan sikap tidak setuju tetapi Raja Najasyi tetap berkeras dengan pendapatnya.
Dengan keadilan yang ada pada Raja Najasyi, dia memberi jaminan bahawa umat Islam boleh tinggal secara aman di Habasyah, malah sesiapa yang menghina mereka akan didenda. Keputusannya itu diulang sebanyak tiga kali.
Setelah itu, dua orang wakil kaum quraisy itu pulang semula ke Makkah bersama hadiah-hadiah yang mereka bawa kononnya untuk diberi kepada raja dan pembesar.
Berita kegagalan kaum quraisy itu cepat tersebar di Makkah. Kaum muslimin berasa gembira dengan pertolongan Allah.
Sejak itu, umat Islam di Habasyah hidup aman sebagai orang-orang merdeka di negeri yang aman di bawah pemerintahan raja yang adil.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)