, ,

Tapi Allah Tahu – Kisah Wanita Solehah

Ketika waktu malam, Saidina Umar Al-Khattab RA memantau rakyatnya dengan mengenakan kain yang ditutup supaya orang tidak tahu itu dia.

Jika orang melihat Umar, semuanya gementar, apatah lagi bercakap dengannya.

Beliau sengaja mahu mendengar apa yang berlaku di kawasan Madinah (kawasan yang beliau tadbir).

Beliau risau jika ada perkara yang beliau tidak tahu berlaku di tengah-tengah Madinah kerana mereka segan mahu memberitahu Umar.

Maka, di waktu malam dalam keadaan bertutup, dia memantau rakyatnya.

Ternyata, semua tempat yang Umar singgah, semuanya puas hati akan cara yang dilakukan Umar dalam mentadbir sehingga singgah pada sebuah rumah.

Beliau terdengar perbualan emak dan anak perempuannya.

Emak yang bertugas untuk memerah dan menjual susu menyuruh anaknya mengambil air dan mencampurkan susu dengan air supaya kelihatan banyak dan dijual sedemikian rupa untuk mendapat untung lebih.

Jika disamakan dengan zaman sekarang, seperti madu yang dicampur dengan gula dan bermacam-macam lagi.

Perbuatan ini dilarang Umar.

Ibu: Mana amirul mukminin boleh tahu apa yang kita lakukan pada malam buta begini.

Anak: Ya, wahai ibu, amirul mukminin tidak tahu tetapi Tuhan tahu.

Umar mendengar perkataan anak perempuan tersebut dan ditanda rumah itu untuk mengenalpasti rumah ini yang didatanginya semalam.

Keesokannya, Umar mendatangi rumah tersebut dan meminang anak perempuan tersebut kepada anak lelakinya. Lahir dari keturunan ini seorang bernama Umar Bin Abdul Aziz daripada seorang wanita yang ‘raqibah salihah’ mempunyai sifat pengamatan kepada Allah yang luar biasa.[1]

Begitulah, daripada orang soleh akan keluar anak yang solehah dan begitulah seterusnya. Kesimpulannya, betapa pentingya kita berbuat baik di mana-mana sahaja kerana kita di dalam pemerhatian Allah. Walaupun ketika keseorangan, jagalah tingkah laku kita dan bukannya hanya melakukan kebaikan di hadapan manusia sahaja.

Rujukan:

[1] Cocombee, 'Tapi Allah Tahu' - Kisah Wanita Solehah ᴴᴰ | Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid

https://www.youtube.com/watch?v=lv2fxJ9QZJU