,

Asiah Lebih Memilih Allah Dan Sanggup Meninggalkan Segala Kemewahan Dunia

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

وَقَالَتِ ٱمۡرَأَتُ فِرۡعَوۡنَ قُرَّتُ عَيۡنٖ لِّي وَلَكَۖ لَا تَقۡتُلُوهُ عَسَىٰٓ أَن يَنفَعَنَآ أَوۡ نَتَّخِذَهُۥ وَلَدٗا وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ

“Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).” (Surah Al-Qasas 28:9)

Hebat kuasa Allah, kan? Semua bayi dibunuh, tetapi Nabi Musa yang masih bayi itu terselamat, lepas tu hidup pula bersama Firaun dan Asiah!

Siapa lagi yang memberi ilham kepada Asiah untuk menyelamatkan bayi tersebut, melainkan Allah? Itulah jasa Asiah kepada Nabi Musa.

Ketika Asiah berkata: “Mudah-mudahan ia berguna kepada kita”, ulama’ mengatakan bahawa Allah memberikan manfaat yang diharapkan oleh Asiah iaitu:

(1) Di dunia, Allah telah memberinya hidayah

(2) Di akhirat, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga

Secara umum, kita semua tahu bahawa Asiah beriman kepada Allah iaitu Tuhan yang sebenar, bukannya Firaun. Walaupun suaminya sendiri mengaku sebagai tuhan, tetapi Allah memelihara akidah Asiah dan teguh dengan pendirian untuk menjadi pengikut kepada Nabi Musa.

Asiah sanggup kehilangan segala kesenangan dan harta yang dimiliki, bahkan rela diseksa hinggalah ke hembusan nyawa yang terakhir.

Korang nak tahu doa Asiah yang dicatat di dalam Al-Quran sebagai bukti cinta pada Allah melebihi segala-galanya, bukan pada suaminya yang kufur? Cuba tengok ni.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱمۡرَأَتَ فِرۡعَوۡنَ إِذۡ قَالَتۡ رَبِّ ٱبۡنِ لِي عِندَكَ بَيۡتٗا فِي ٱلۡجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِن فِرۡعَوۡنَ وَعَمَلِهِۦ وَنَجِّنِي مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلظَّلِمِينَ

“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku daripada Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.” (Surah At-Tahrim 66:11)

Allahuakbar…

Nota kaki : Artikel ini ditulis oleh Aizuddin Hamid. Layari https://t.me/aizuddinhamiid untuk perkongsian bermanfaat.