,

Antara Ilmu, Penyakit dan Ubat

Dunia kini telah digemparkan dengan penularan wabak yang telah tersebar ke serata dunia iaitu wabak COVID-19.

Pada awal kemunculannya, seluruh penduduk dunia terkejut kerana wabak yang mematikan ini telah menyebabkan seluruh dunia terjejas. 

Walaupun ia dikatakan hanya seperti selesema biasa, ternyata kemunculannya telah merubah cara hidup manusia.

Kita yang sebelum ini bebas ke mana sahaja, kini pemakaian pelitup muka sudah menjadi satu kewajiban.

Tidak pakai, denda menanti. Amalan norma baharu pula diperkenalkan diikuti dengan SOP yang tertentu perlu dipatuhi. 

Pendek kata, kehidupan manusia kini sudah berubah!

Ilmu Semasa

Sejak awal kemunculan wabak ini, para saintis seluruh dunia bertungkus lumus melakukan kajian dan analisis terhadap virus penyebab wabak ini. 

Mereka tidak kira bangsa dan agama bersungguh-sungguh berusaha untuk mencari titik kelemahan Virus COVID-19 ini bagi menemukan penawarnya.

Memandangkan ia merupakan virus yang baharu, maka tidak sebarang ubat hatta vaksin sekalipun yang dapat digunakan untuk rawatan.

Kali ini kita dapat menyaksikan betapa penguasaan ilmu pengetahuan dalam bidang virologi ini sangat menjadi keperluan ketika ini. 

Kita juga dapat lihat, negara yang memiliki kepakaran dalam bidang ini pula berlumba-lumba untuk menjadi negara pengeluar vaksin sebagai ikhtiar untuk menyekat penularan wabak ini agar tidak menjadi serius.

Namun, di sebalik semua itu, ada juga segelintir manusia yang menafikan peranan dan kepentingan ilmu virologi ini.

Kata mereka, semua ini adalah agenda Yahudi untuk mengurangkan populasi manusia

Kata mereka juga semua ini bertujuan untuk orang Yahudi menguasai dunia! 

Mereka ini dikenali sebagai golongan antivaksin.
Persoalannya sekarang, apakah peranan yang dimainkan oleh negara umat Islam ketika ini? 

Dalam soal vaksin misalnya, tiadakah mana-mana negara umat Islam turut sama menghasilkan vaksin untuk kegunaan umum? 

Jikalau kerana bimbang vaksin yang dihasilkan itu memiliki agenda Yahudi, mengapa umat Islam sendiri tidak menghasilkannya?

Semua ini adalah realiti yang perlu ditelan oleh umat Islam walaupun pahit. 

Ya, kita tidak memiliki dana dan juga kepakaran untuk menghasilkan vaksin secara sepenuhnya seperti negara-negara bukan Islam yang lain.

Kita Pernah Mendahului

Jika dibelek lembaran sejarah Islam silam, tidak dapat dinafikan bahawa umat Islam suatu ketika dahulu sangat terkehadapan dalam bidang perubatan

Nama-nama besar seperti Ibn Sina, al-Zahrawi, Abu Bakar al-Razi dan sebagainya merupakan tokoh-tokoh perubatan yang terkenal

Dengan ilmu yang dimiliki, mereka berusaha untuk menyelamatkan nyawa manusia. 

Sudah tentu ketika itu segala macam teori konspirasi belum wujud lagi.

Kita jadi pelik. Sekiranya amalan vaksinasi itu dikatakan sebagai salah satu daripada agenda Yahudi. 

Mengapa sejarah mencatatkan bahawa umat Islam sendiri pernah mengamalkannya sehingga diikuti oleh orang Eropah?

Ia merujuk kepada catatan seorang isteri kepada duta Britain ke Turki Uthmaniah bernama Lady Mary Wortley Montagu. 

Beliau telah menyaksikan amalan vaksinasi di kota Istanbul pada tahun 1717. 

Ketika itu, dunia sedang diancam penyakit cacar. Bahkan, pada tahun berikutnya, anak lelaki beliau telah diberikan vaksin di Turki manakala anak perempuannya pula di England pada tahun 1721.

Bagi umat Islam, kita berpegang kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya. Maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda yang haram.” (Riwayat Abu Daud)

Ya, Allah SWT pula menganugerahkan manusia akal fikiran yang mana dengannya kita memperoleh ilmu pengetahuan. 

Justeru, sebagai seorang Muslim, kita semestinya berikhtiar untuk mendapatkan ubat bagi penyakit yang ada.

Janganlah hanya kerana penyakit itu dijadikan oleh Allah, kita pun hanya berpeluk tubuh tidak melakukan apa-apa.

Awas, Jangan Terpedaya!

Sesungguhnya kehebatan umat lain adalah disebabkan oleh kelemahan umat Islam.

Kini, kita hanya sekadar menjadi masyarakat pengguna sahaja. 

Apa sahaja yang wujud ketika itu, kita pun terima sahaja. Seharusnya kita perlu sedar akan hal ini.

Janganlah pula juga termakan dengan sebarang ilmu yang tidak berasas sehingga menghentikan langkah kita untuk terus ke hadapan menjadi pemimpin umat manusia. 

Bukankah Allah telah mengiktiraf bahawa umat Islam merupakan umat terbaik? 

Namun, syaratnya ialah perlu beriman kepada Allah SWT dan dalam masa yang sama melakukan amar makruf dan nahi munkar. 

Bukankah menyuruh manusia untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya itu tergolong dalam amar makruf?

Justeru, jangan bazirkan masa dengan melayan ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat. 

Pastikan ilmu yang dipelajari itu benar-benar selari dengan tuntutan syarak dan tidak hanya berpandukan cakap-cakap sahaja. 

Dalam soal penyakit, kita yakin bahawa itu semua daripada Allah. 

Maka, kita juga perlu yakin bahawa Allah memerintahkan kita untuk berikhtiar dengan ilmu. 

Dengan ikhtiar yang dilakukan, insha Allah, Dia jualah yang akan mengangka penyakit tersebut.