Ketika Suhail bin Amr yang mewakili kaum Quraisy melakukan perjanjian Hudaibiyah dengan Rasulullah, maka datang anak Suhail iaitu Abu Jandal yang merupakan seorang Muslim. Abu Jandal berjaya melarikan diri dari Makkah dan ingin bersama kaum Muslimin.
Namun, ayahnya iaitu Suhail mengatakan: “Wahai Muhammad, masalah ini telah kita selesaikan,” iaitu antara isi perjanjian Hudaibiyah ialah jika ada kaum Muslimin dari Makkah yang datang kepada Rasulullah maka dia harus dipulangkan semula ke Makkah.
Abu Jandal berkata: “Wahai kaum Muslimin, patutkah aku dikembalikan kepada kaum musyrikin, mereka akan memfitnah agamaku.” Namun, kaum Muslimin berasa sangat sedih kerana tidak mampu menyelamatkan Abu Jandal asbab daripada perjanjian Hudaibiyah itu.
Rasulullah mengatakan: “Kami telah membuat perjanjian damai antara kami dan kaum itu, kami menyerahkanmu kepada mereka berdasarkan perjanjian itu, kami tidak mengingkari janji.”
Namun, bagi menghiburkan Abu Jandal dan kaum Muslimin yang masih berada di Makkah, Rasulullah mengatakan: “Wahai Abu Jandal, bersabarlah dan mohonlah pahala dari Allah, sungguh Allah akan memberikan jalan keluar untukmu dan orang-orang lemah lain yang ada bersamamu.”
Para sahabat tidak mampu berbuat apa-apa ketika ayah Abu Jandal iaitu Suhail menarik keras dan ingin mengembalikannya semula ke penjara di Makkah.
“…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Talaaq 65:3)
Namun, tidak sampai setahun, Abu Jandal berjaya melarikan diri bersama saudara Muslim yang lain dari Makkah. Mereka bergabung dengan Abu Bashir dan menjadi kekuatan yang ditakuti kaum musyrikin kerana mereka telah menguasai jalan yang dilalui kafilah kaum Quraisy yang datang dari Syam.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)