Rasuah berasal daripada perkataan Arab iaitu berbunyi al-risywah.
Manakala, dalam Al-Quran pula rasuah merupakan salah satu perbuatan yang boleh dianggap sebagai satu jenayah dan hal ini amatlah ditegah dalam Islam dan hukumnya adalah berdosa besar.
Golongan yang melakukan rasuah biasanya tidak memikirkan kesan-kesan negatif yang akan mereka hadapi dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan keredhaan dan keberkatan Allah SWT terhadap sumber yang diperolehi.
Dalam konteks ini, terdapat sebab-sebab berlakunya rasuah sehingga mencetuskan aktiviti ekonomi yang haram.
Antara punca-punca berlakunya rasuah dalam kalangan masyarakat ialah, kerana kurangnya iman dan takwa dalam diri individu tersebut. Undang-undang di setiap Negara melarang aktiviti rasuah apatah lagi dalam ajaran Islam.
Islam amat melarang umatnya untuk melakukan perbuatan terkutuk seperti menerima dan memberi rasuah kepada individu lain.
Biasanya, rasuah berlaku apabila seseorang berniat untuk menyembunyikan perkara agar orang lain tidak dapat mengetahuinya. Hal ini demikian akan menyebabkan perkara negatif berlaku.
Menurut Fahim A. Al-Marhubi (2000), rasuah akan mengakibatkan kesan negatif dan penyebab kepada kelemahan dalam makroekonomi sebagai contohnya dalam pelaburan dan juga menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang lembab.
Dari segi iman dan takwa, individu Islam yang memegang iman dan takwa kepada Allah SWT dengan yakin akan kebesaran Allah SWT dalam memberikan rezeki kepada umatnya tidak akan melakukan rasuah, melainkan mereka yang kekurangan nilai pegangan agama.
Sebagai contohnya, sikap inginkan kehidupan yang berharta serta mewah menjadikan individu tersebut terjeremus ke lembah kemurkaan Allah SWT kerana didorong dengan sikap pentingkan diri sehinggakan sanggup memberi atau menerima rasuah.
Di samping itu, menurut Vito Tanzi (1998), peruntukan bagi barangan dan perkhidmatan di bawah harga pasaran juga merupakan faktor berlakunya rasuah dan menyebabkan berlakunya krisis dalam pasaran.
Di sesetengah negara, kerajaan terlibat dalam penyediaan sumber barangan dan perkhidmatan di bawah harga pasaran.
Hal ini mungkin berkaitan dengan beberapa faktor seperti pertukaran mata wang asing, hutang, perumahan awam, barangan yang dicatu dan sebagainya.
Sebagai contohnya, sekiranya kekurangan sumber bekalan yang tidak dapat dielakkan, lebihan permintaan akan berlaku dan keputusan perlu dibuat untuk membahagi bekalan yang terhad.
Biasanya, keputusan ini dibuat oleh kakitangan awam. Maka, kejadian rasuah akan berlaku antara pengguna kerana mereka akan bersedia membayar rasuah untuk mendapatkan sumber bekalan yang terhad itu.
Hal ini akan menyebabkan berlakunya krisis ekonomi sesebuah negara. Rasuah akan merosakkan bangsa dan negara jika diamalkan dan menyebabkan sesebuah negara itu dipandang serong oleh negara-negara lain.
Malahan, amalan rasuah juga menyebabkan berlakunya huru-hara apabila wujudnya birokrasi dalam sistem pemerintahan yang secara tidak langsung akan memberikan peluang kepada pegawai-pegawai kerajaan dari pelbagai peringkat mengambil kesempatan (Sarah Dina M. A. dan Mohd Abid I., 2013).
Birokrasi ini menyebabkan proses pengurusan pentadbiran perlu melalui banyak saluran. Apabila hal ini berlaku, kejadian seperti rasuah amatlah tidak asing lagi.
Hal ini terjadi disebabkan desakan untuk memproses sebarang permohonan yang memerlukan jangka masa yang panjang.
Untuk mangambil jalan yang mudah, mereka akan menyalurkan rasuah kepada kakitangan-kakitangan yang tidak bertanggunjawab untuk mempercepatkan proses permohonan mereka.
Kesannya, perkara ini akan menyebabkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan golongan yang tidak memberikan rasuah. Seterusnya, hal ini juga dapat mengakibatkan berlakunya huru-hara dalam pentadbiran.
Selain itu, politik juga menyebabkan berlakunya ketidakharmonian dan menyebabkan berlakunya rasuah yang bersangkut paut dengan aktiviti ekonomi yang haram.
Hal ini berlaku kerana sesetengah ahli politik mengambil kesempatan dengan menggunakan kuasa yang ada untuk memberi dan menerima rasuah untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati untuk melakukan aktiviti haram dalam bidang ekonomi yang menyebabkan berlakunya kesan buruk kepada pelbagai pihak.
Oleh itu, ada ulama mengatakan bahawa punca segala keburukan dalam aktiviti ekonomi yang haram adalah menjurus kepada kegiatan rasuah.
Memberi dan menerima rasuah adalah haram. Segala berkaitan dan bersangkut paut dengan rasuah adalah haram.
Justeru itu, sebagai hamba Allah SWT di muka bumi ini, kita hendaklah memantapkan iman dan takwa dalam diri agar terhindar daripada kegiatan rasuah.
Selain itu juga, kerajaan juga harus menitikberatkan isu rasuah dengan menekankan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan di samping menguatkuasakan undang-undang berkaitan rasuah.
Maklumat Penulis
Artikel ini ditulis oleh Nuraini bt Anwar.
Anda berminat untuk menyertai Pertandingan Penulisan Islamik iLuvislam dan berpeluang memenangi hadiah Utama RM300 dengan cara menghantar artikel hasil penulisan anda? Klik sini (sah sehingga 15 Disember 2018 sahaja)