Masa zaman awal Islam, orang-orang Quraisy berjumpa dengan Al-Hushain, seorang tokoh masyarakat yang disegani. Mereka berkata kepada Al-Hushain bahawa Rasulullah menghina tuhan-tuhan mereka.
Lalu, orang-orang Quraisy bawa Al-Hushain bertemu Rasulullah, dengan harapan untuk menghalang dakwah Baginda. Masa dah sampai dalam majlis Rasulullah bersama para sahabat, kebetulan ada juga anak kepada Al-Hushain di situ yang sudah masuk Islam, bernama Imran.
Al-Hushain bertanya, betulkah Nabi ada hina tuhan mereka, sedangkan ayah Nabi seorang yang berakal dan jaga agama nenek moyang dengan baik.
Apa yang menarik, Rasulullah pula yang membuat soal jawab dengan Al-Hushain, memberi tarbiah secara tak langsung.
Rasulullah tanya, berapa banyak tuhan yang Al-Hushain sembah? Jawabnya, tujuh di bumi dan satu di langit.
Rasulullah tanya lagi, kalau ditimpa musibah akan berdoa pada tuhan yang mana? Jawabnya, tuhan di langit.
Rasulullah tanya lagi, kalau harta rosak, kepada tuhan mana dia berdoa? Jawabnya, tuhan di langit.
Setelah tu, Rasulullah berhujah pada Al-Hushain, sedangkan tuhan di langit (Allah Maha Esa) yang kabulkan doa dia, tapi dia sendiri masih sekutukan-Nya dengan tuhan-tuhan yang lain. Kata-kata tu membuatkan Al-Hushain sedar.
Kemudian, Baginda juga mengajak Al-Hushain masuk Islam. Tapi, Al-Hushain kata yang dia ada kaum dan keluarga, apa yang perlu dia katakan kepada mereka?
Rasulullah ajarkan doa, “Ya Allah, aku memohon petunjuk-Mu untuk mempermudah urusanku, dan tambahkanlah ilmu yang bermanfaat bagiku.” Doa tu dibacakan Al-Hushain, lalu dia masuk Islam dalam majlis Rasulullah tu.
Kejadian tu disaksikan anaknya Imran yang berada di dalam majlis, lalu Imran terus berdiri dan mencium kepala ayahnya, juga kedua tangan dan kedua kaki sebagai tanda hormat.
Lalu, Rasulullah pun menangis dan kata: “Aku menangis disebabkan apa yang dilakukan Imran, ketika Al-Hushain masuk (dalam majlis tu) dan dia masih dalam keadaan kafir, Imran tidak berdiri dan tidak menoleh ke arahnya. Tetapi ketika bapanya masuk Islam, dia mempersembahkan haknya dan hal ini menyentuh hatiku.”
Misi orang-orang Quraisy untuk menghalang dakwah Nabi di Makkah melalui tokoh masyarakat Al-Hushain gagal, sebaliknya Al-Hushain pula yang masuk Islam.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr. Ali Muhammad As-Shallabi)