Setelah perjanjian Hudaibiyah, Abu Bashir Utbah bin Usaid melarikan diri daripada terus menjadi tawanan Quraisy di Makkah. Ketika Abu Bashir berada di Madinah, maka datang dua orang utusan Quraisy bertemu Rasulullah untuk menuntut semula Abu Bashir supaya dikembalikan semula ke Makkah sesuai dengan isi perjanjian Hudaibiyah.
Lalu, Rasulullah mengatakan: “Wahai Abu Bashir, aku telah memberikan apa yang telah engkau ketahui untuk kaum itu, kita tidak patut berkhianat dalam agama, sungguh Allah akan memberikan jalan keluar untukmu dan untuk orang-orang yang tidak berdaya bersamamu. Kerana itu, pulanglah ke kaummu.”
Tiada pilihan lain, maka Abu Bashir terpaksa pulang semula ke Makkah bersama dua utusan Quraisy itu walaupun kaum Muslimin di Madinah berasa berat untuk melepaskan saudara Islam mereka yang telah pun berjaya melarikan diri daripada penjara Makkah, namun terpaksa dikembalikan semula.
Namun, ketika di Dzul Hulaifah, Abu Bashir berkata kepada salah satu dari kedua orang Quraisy itu: “Boleh aku melihat pedangmu itu wahai saudara Bani Amir?” Dia menjawab: “Boleh.”
Abu Bashir berhelah sehingga berjaya mendapatkan pedang itu, berlaku pergelutan dan salah seorang utusan Quraisy mati. Seorang lagi utusan Quraisy bertemu semula Rasulullah dan memberitahu perkara yang Abu Bashir telah lakukan.
Setelah itu, Abu Bashir datang bertemu semula Rasulullah dan mengatakan: “Wahai Rasulullah, engkau telah memenuhi tanggunganmu dan Allah telah menunaikan tanggunganmu, engkau menyerahkanku kepada kaum yang aku tidak mahu agamaku terfitnah di tengah-tengah mereka.”
Rasulullah tetap ingin memulangkan semula Abu Bashir atas dasar perjanjian Hudaibiyah, namun Abu Bashir pergi hingga tiba di Saiful Bahr.
Kaum Muslimin di Makkah mengetahui hal itu, maka mereka pun berusaha melarikan diri dan bergabung dengan Abu Bashir di Saiful Bahr, sehinggalah mereka menjadi suatu kumpulan yang digeruni kaum kafir Quraisy.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)