,

Abu Bakar al-Siddiq – Mendahului Melakukan Kebaikan

Abu Bakar al-Siddiq mencatat namanya sebagai salah seorang sahabat Nabi SAW yang istimewa.

Beliaulah antara orang yang terawal memeluk Islam dan orang yang pertama membenarkan peristiwa Israk dan Mikraj.

Segala jerih payah dakwah Rasulullah di Mekah, dirasa bersama. 

Hinggakan beliau diberikan peluang untuk bersama-sama Baginda tatkala berhijrah ke Madinah.

Setelah semua onak dan duri yang dilalui oleh Rasulullah bersama sahabatnya itu, maka tidak hairanlah apabila Baginda sendiri mengakui bahawa Abu Bakar merupakan ‘kekasihnya.’ 

Tatkala sebelum Rasulullah SAW menghembuskan nafasnya yang terakhir, Baginda sempat berkata: 

“Aku telah memiliki saudara dan sahabat dalam kalangan kamu semua. 

Seandainya aku boleh menjadikan salah seorang daripada kamu sebagai ‘kekasih’, sudah tentu aku akan memilih Abu Bakar."

"Tuhanku telah menjadikan aku ‘kekasih’-Nya sebagaimana Dia menjadikan Ibrahim sebagai ‘kekasih’-Nya juga.”

Tawaduk

Abu Bakar al-Siddiq terkenal sebagai seorang yang berhati mulia.

Tutur katanya tidak berbau nista walaupun sebelum memeluk Islam lagi. Apatah lagi sebaik sahaja memeluk Islam. 

Sungguhnya kita hanya mengenali sosok tubuh ini hanya kepada jasa-jasa yang telah ditaburkan seperti kisah Israk Mikraj, hijrah, memerangi golongan murtad dan pembukuan awal naskhah al-Quran.

Sepertinya kisah-kisah tentang keperibadiannya tidak diendahkan sangat. 

 Sedangkan, sikap dan akhlak yang ditunjukkan itu sebenarnya boleh menjadi contoh tauladan buat kita hari ini. 

Hal ini diakui oleh al-Ashma’i katanya: “Apabila seseorang memuji Abu Bakar, beliau akan berkata: ‘Ya Allah Engkau sahaja yang mengetahui tentang diriku daripada diriku sendiri. "

"Namun, aku mengenali diriku daripada kata-kata mereka.

Ya Allah, jadikanlah aku baik sebagaimana yang mereka sangkakan."

" Ampunkanlah dosaku apa yang mereka tidak ketahui dan janganlah engkau mengirakan aku salah dengan apa yang mereka katakan.”

Suatu ketika Abu Bakar al-Siddiq dilantik menjadi khalifah, beliau meminta untuk dibawakan minuman kepadanya. 

Lalu, dibawakanlah kepadanya air dan madu. Beliau pun meminumnya. 

Tatkala rasa madu itu hilang di dalam tekaknya, beliau menangis sehingga sahabat-sahabat yang berada di sisinya turut menangis.

Setelah rakan-rakannya itu berhenti menangis, beliau masih lagi menangis. 

Namun, beliau terus menangis sehingga rakan-rakannya itu tidak tahu apakah puncanya. 

Setelah Abu Bakar berhenti menangis, mereka bertanya: “Wahai Khalifah Rasulullah, apakah yang menyebabkan engkau menangis?”

Beliau menjawab: “Ketika aku bersama Rasulullah, aku melihat Baginda seperti sedang menahan sesuatu."

"Aku juga tidak melihat sesiapapun bersama Baginda di situ. 

Maka, aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah sedang tuan tahan dan saya tidak melihat seorangpun bersama tuan?” 

Jawab Baginda: “Dunia ini. Aku kata kepadanya: ‘Jauhi aku. Dia pun menjauh selepas itu dia kembali kepadaku.’ Lalu dia (dunia itu) berkata:

"Adapun sekiranya engkau yang menjauhi, maka tidak mungkin orang selepas kamu dapat menjauhinya." 

Abu Bakar berkata: “Aku teringat peristiwa ini dan aku bimbang dunia ini mengikutiku.”

Sentiasa Mendahului Infak

Abu Bakar al-Siddiq tergolong daripada salah salah seorang sahabat nabi yang berharta.

Walaubagaimanapun, beliau terkenal dengan sifat pemurah dan suka menderma ke jalan kebaikan. 

Apabila memeluk Islam, semua hartanya digunakan untuk Islam dan terutamanya Rasulullah SAW.

Terdapat banyak kisah yang menceritakan tentang sikap pemurah beliau ini.

Baginda SAW sendiri telah mengakuinya dengan berkata: “Tiada suatu harta benda pun yang memanfaatkan aku sepertimana harta daripada Abu Bakar.”

Mendengar pengakuan Rasulullah itu, Abu Bakar pun menangis lalu berkata: “Adakah hartaku ini selain daripada untukmu wahai Rasulullah?”

Satu kisah yang terkenal tentang beliau ialah kisah yang berlaku di antara dirinya dengan Umar bin al-Khattab.

Umar bercerita: “Rasulullah SAW telah memerintahkan kami untuk bersedekah.

Lalu, aku pun telah bersetuju untuk menyedekahkan harta yang aku miliki."

"Pada suatu ketika aku mendahulu Abu Bakar. Aku membawa separuh daripada hartaku untuk disedekahkan.”

Lalu, datang Abu Bakar. Beliau membawa seluruh harta yang dimilikinya. 

Lalu ‘Umar pun bertanya: “Wahai Abu Bakar, apakah yang engkau tinggalkan untuk ahli keluargamu?”

Beliau menjawab: “Aku tinggalkan mereka Allah dan Rasulnya.” 

Mendengar kata-kata itu, Umar berkata: “Aku tidak dapat mengatasinya dalam hal ini selama-lamanya.”

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%