,

Usaha Abdullah Bin Ubay Menjadi ‘Batu Api’ Antara Muhajirin Dan Ansar Setelah Perang Musthaliq Gagal

Kaum Muslimin memenangi perang Bani Musthaliq, namun perkara tersebut tidak disenangi kaum munafik kerana hati mereka lebih suka jika kaum Muslimin menderita kekalahan.

Kaum munafik cuba menyebarkan sifat fanatisme dalam kalangan golongan Muhajirin dan Ansar, bukan itu saja malah berusaha untuk menyakiti Rasulullah dan keluarganya.

Suatu ketika, Zaid bin Arqam iaitu sahabat Nabi yang mengikut sekali dalam perang Bani Musthaliq telah terdengar apa yang dikatakan Abdullah bin Ubay iaitu ketua munafik, katanya: “Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada kaum Muhajirin yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar meninggalkan Rasulullah. Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah daripadanya.”

Lalu, Zaid bin Arqam memberitahu pak ciknya, kemudian disampaikan pula kepada Rasulullah, lalu Zaid bercerita sendiri di hadapan Baginda.

Rasulullah menghantar utusan kepada Abdullah bin Ubay dan kaum munafik, namun katanya mereka bersumpah tidak pernah mengucap perkara sebegitu.

Pada ketika itu, Rasulullah mempercayai kata-kata Abdullah bin Ubay dan mengatakan Zaid bin Arqam berdusta, ditambah pula Zaid masih lagi anak muda dan mungkin terkeliru.

Apabila dikata sebagai pendusta, Zaid bin Arqam berasa tidak tenang. Setelah peristiwa itu, turun ayat Al-Quran:

“Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” (Surah Al-Munaafiquun 63:1)

Maka, Rasulullah menghantar utusan bertemu dengan Zaid dan mengatakan: “Sesungguhnya Allah telah membenarkanmu wahai Zaid.”

Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)

What do you think?

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%