,

Ujian di Puncak Kejayaan – Khalid bin al-Walid

Setiap manusia dikurniakan kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri. 

Semua itu adalah merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya agar ia dimanfaatkan sebaiknya. Janganlah pula kelebihan itu digunakan untuk perkara-perkara yang tidak baik.

Walaubagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha mengenal pasti apakah kelebihan dan keistimewaan kita. 

Kemudian, apabila kita sudah berjaya mengetahui apakah kelebihan dan keistimewaan kita, janganlah disebabkan itu kita berasa takbur dan sombong. 

Sentiasa ingat semua itu adalah merupakan kurniaan Allah jua.

Pedang Sebagai Mainan

Salah seorang sahabat Nabi SAW yang sangat sinonim dengan pedang tidak lain dan tidak bukan ialah Khalid bin al-Walid RA. 

Walaupun beliau pernah memenangkan pasukan Quraisy dalam Peperangan Uhud, namun setelah memeluk Islam, sepertinya beliau ingin menebus kembali kesilapannya itu.

Kemahiran dan bakat beliau dalam seni peperangan telah membantu umat Islam mengalahkan musuh-musuhnya dan juga membuka wilayah-wilayah baharu. 

Bermula dengan Peperangan al-Riddah sehinggalah kepada kejayaan pembukaan wilayah Syam keseluruhannya. 

Nama Khalid al-Walid tidak dapat dipadamkan daripada catatan sejarah Islam.

Hal ini telah diakui sendiri oleh Rasulullah SAW. Baginda bersabda: “Sesungguhnya Khalid itu merupakan sebilah pedang daripada pedang-pedang Allah yang dihunus kepada orang-orang kafir.”

Khalid bin al-Walid pula dalam pengakuannya sangat menggemari jihad.

Katanya: “Tiada suatu hadiah pun yang aku lebih sukai berbanding bermalam dalam keadaan sejuk yang teramat ketika perang dan menyerang musuh walaupun aku dihadiahkan dengan satu malam berserta pengantinnya.”

Begitulah digambarkan betapa mendalamnya minat sosok yang bernama Khalid bin al-Walid ini. 

Maka, tidak hairanlah beliau begitu bersungguh-sungguh sehingga setiap peperangan yang diketuainya mencapai kemenangan. Betapa hebatnya kuasa minat.

Kerana Terlalu Hebat

Semua bercakap tentang kehebatan dan kejayaan beliau. 

Khalifah Abu Bakar mengambil pendirian untuk tidak mengusik Khalid. Biarkan beliau terus memimpin pasukan Islam dan mencapai kejayaan.

Namun, semua itu berubah apabila Umar menjadi khalifah. Beliau berpandangan Khalid sudah terlampau bebas sehingga banyak keputusan diambil tanpa merujuk kepadanya sebagai Amirul Mukminin. 

Tambahan pula, umat Islam seakan-akan beranggapan bahawa kemenangan tentera umat Islam hanya bergantung kepada Khalid seorang bukan lagi Allah.

Maka, satu keputusan drastik diambil oleh Khalifah Umar. 

Beliau bertindak memecat sosok yang bergelar ‘Pedang Allah’ itu daripada jawatan ketua turus angkatan perang Syam

Jawatan tersebut kemudian diserahkan kepada Abu Ubaidah al-Jarrah.

Ujar Khalifah Umar: “Aku akan memecat Khalid sehingga dia tahu bahawa Allahlah yang memenangkan agamanya!”

Lalu, khalifah melantik Abu Ubaidah al-Jarrah sebagai pemimpin keseluruhan pasukan Syam, Yazid bin Abu Sufian bagi wilayah Palestin, Syurhabil bin Hasanah bagi wilayah Jordan, Khalid bin al-Walid bagi wilayah Damsyik dan Habib bin Maslaha bagi wilayah Hims.

Betapa Khalid bin al-Walid ketika itu sudah berada di puncak sehingga sahabatnya Abu Ubaidah berasa serba salah untuk memberitahunya tentang pemecatan itu. 

Sehinggakah berita tersebut diketahui sendiri olehnya.

Kata Khalid kepada Abu Ubaidah: “Semoga Allah merahmatimu! Apa yang membuatkan engkau tidak memberitahuku tentang perkara ini?” 

Jawab Abu Ubaidah: “Aku tidak suka membuat hatimu tidak tenteram dengannya.”

Sentiasa Berpijak di Bumi

Ya, begitulah kisah tentang seorang sahabat Nabi SAW yang luar biasa. 

Satu contoh yang kita boleh pelajari ialah kadang-kala apabila kita berada di atas, sentiasa ingat bahawa semua itu tidak boleh menjadi sebab untuk kita bermegah dan sombong. 

Bila-bila masa sahaja ia akan diambil.

Lihatlah Khalid bin al-Walid. Beliau tidaklah memberontak kepada Khalifah Umar tatkala karier yang merupakan minatnya itu ditarik dan dihalang.

Beliau terima dengan reda dan kemudian menghabiskan sisa-sisa hidupnya sehingga hasratnya untuk mati syahid tidak kesampaian. 

Akhirnya beliau menghembuskan nafas terakhirnya di atas katil juga seperti orang biasa.

Namun, lihatlah juga Khalid bin al-Walid. 

Tatkala diberikan peluang dan ruang untuk melakukan apa yang diminat, lakukanlah dengan sebaiknya. 

Janganlah melakukannya ala kadar sahaja.

Andai kata kita diberikan suatu tugas yang kena dengan minat kita, lakukan yang terbaik. Kadang kala peluang sebegini datang hanya sekali seumur hidup kita.

Rujukan:

Siyar A’lam al-Nubala' : Imam al-Dzahabi.