, ,

Kepentingan Perkara Sam’iyyat Dalam Kehidupan Manusia

Kita wajib percaya mengenai perkara sam’iyyat walaupun kita tidak mampu melihat melalui mata kita.

Kejap, korang tahu tak apa itu sam’iyyat?

Ia bermaksud segala perkara ghaib yang diketahui hanya melalui penjelasan daripada al-Quran dan hadis Nabi.

Contohnya? Alam barzakh, padang mahsyar, mizan (timbangan amal), syurga, neraka dan sebagainya.

Syurga sudah semestinya menjadi destinasi terakhir yang diinginkan seluruh manusia.

Ia merupakan tempat pembalasan yang dipenuhi dengan nikmat yang kekal abadi bagi hamba Allah yang beriman.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu,

dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah Ali-‘Imran 3:133)

Sedangkan, apabila menyebut tentang neraka, walaupun kita tidak pernah melihatnya, namun kita sentiasa berlindung dan berdoa kepada Allah agar tidak dimasukkan ke dalamnya.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ

Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya,

maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

(surah al-Baqarah 2:24)

Apabila kita percaya kepada perkara sam’iyyat, sudah semestinya ia memberi kesan pada kehidupan kita. Antaranya seperti berikut:

– Beribadah dengan sebaik mungkin semata-mata kerana Allah

– Timbul kesedaran untuk berusaha meninggalkan maksiat dan dosa

– Menambah keyakinan terhadap keagungan dan kekuasaan Allah

– Sentiasa mengamalkan akhlak dan perilaku yang baik

Wallahu’alam.