Setelah Fath (pembukaan) Makkah, Rasulullah mengutus pasukan Islam lebih kurang 350 orang yang dipimpin Khalid bin Al-Walid untuk berjumpa bani Judzaimah bagi menyeru mereka masuk Islam.
Ketika bani Judzaimah melihat pasukan Khalid, mereka segera mengambil senjata. Kata Khalid: “Letakkan senjata kamu kerana semua orang sudah masuk Islam.”
Pada awalnya, ada yang tidak mahu meletakkan senjata kerana menyangka jika letak senjata maka akan dibunuh. Namun, mereka tiada pilihan kerana tahu kekuatan yang dimiliki pasukan Islam, lalu semua akur.
Khalid meminta mereka berbaris lalu menyeru mereka masuk Islam. Mereka meninggalkan agama nenek moyang mereka dan memilih Islam.
Namun, ada juga yang ditawan dan dibunuh Khalid, sehingga suatu pagi Khalid memerintahkan agar semua tawanan dibunuh. Ada sahabat yang yang melaksanakan perintah Khalid, tetapi ada juga sahabat yang tidak bersetuju antaranya Abdullah bin Umar.
Ketika mereka bertemu Rasulullah dan menceritakan apa yang berlaku, Baginda marah lalu mengangkat tangan ke langit seraya mengucapkan: “Ya Allah, sungguh aku melepaskan diri dari apa yang dilakukan Khalid kepada-Mu.”
Baginda mengutuskan Ali bin Abu Thalib untuk membayar diyat korban yang terbunuh, menghibur serta membebaskan darah mereka. Tindakan Baginda sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan bani Judzaimah.
Pembunuhan Khalid terhadap bani Judzaimah dianggap ijtihad yang keliru, sebagai buktinya Rasulullah tidak menghukum Khalid atas tindakan yang dia lakukan.
Rujukan : Kitab Sirah Nabawiyyah (Dr Ali Muhammad As-Shallabi)